Lupa daratan punca kes Covid-19 melonjak

Lupa daratan punca kes Covid-19 melonjak

PANTAI di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi pilihan orang ramai untuk dikunjungi bagi mengisi waktu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kes Covid-19 sejak kebelakangan ini memerlukan perhatian dan tindakan tegas daripada kerajaan.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan peningkatan yang begitu melonjak sekarang berlaku selepas cuti sempena Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari lalu.

Kalau kerajaan melaksanakan penguatkuasaan larangan merentas sempadan negeri dan daerah, ramai yang bising kononnya sudah lama tidak balik kampung. Apabila kerajaan sudah memberi kelonggaran, ramai yang lupa daratan.

Masing-masing berlumba-lumba menaiki puluhan ribu malahan ratusan ribu kenderaan bersama keluarga untuk pulang ke kampung.

Setelah berada di kampung, mereka bukan menggunakan peluang yang ada untuk melepas rindu kepada ibu bapa dan adik beradik, sebaliknya banyak menghabiskan masa pergi berkelah ke tempat lain.

Bagi yang tinggal di negeri-negeri utara Semenanjung, mereka berpusu-pusu menaiki feri ke Pulau Langkawi.

Banyak dalam kalangan mereka berkumpul di rumah-rumah tumpangan, hotel-hotel malah tidak kurang yang berkhemah di tepi pantai.

Akibatnya berlakulah perkumpulan setempat beramai-ramai. Masing-masing riuh rendah berlari di pantai. Mandi di kolam ataupun air terjun dalam hutan.

Keseronokan membuatkan mereka seolah-olah lupa daratan. Bagi mereka, ancaman Covid-19 sudah berakhir.

Penjarakan fizikal sudah dilupakan. Ramai yang alpa untuk memakai pelitup muka. Kesannya, apabila berakhir cuti Tahun Baharu Cina, nampaklah peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Dari asalnya sekitar 2,000 ke 5,000 kes sehari, terus meningkat kepada lebih 30,000. Apabila ini berlaku, pada siapa yang hendak dipersalahkan?

Apakah rakyat hendak menyalahkan kerajaan kerana membenarkan mereka balik bercuti di kampung, merentas negeri dan daerah?

Justeru, kerajaan perlu teliti betul-betul sebelum memberi kelonggaran rakyat bercuti ke kampung agar padah yang diterima ekoran perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini tidak berulang. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya