SAUDARA PENGARANG,
NEGARA kita kini dalam proses pemulihan setelah dua tahun dilanda wabak Covid-19. Sektor ekonomi kini dilihat semakin rancak berkembang setelah terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi memperkasakan ekonomi negara, pembinaan jaringan perhubungan darat iaitu lebuh raya adalah amat perlu sebagai pemangkin pembangunan antara wilayah.
Sebagai bukti, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan projek Central Spine Road (CSR) dari Kuala Pilah sehingga Kuala Krai telah merancakkan ekonomi antara wilayah.
Adalah sangat penting supaya semua dasar dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang diluluskan pada 2021 dilaksanakan secara berkesan oleh semua pihak berkepentingan supaya pembangunan antara wilayah dapat diseimbangkan.
Selain itu, Dasar Pengangkutan Negara yang dilancarkan pada 2019 menetapkan dasar bagi mengoptimum, membina dan menyelenggara infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan untuk memaksimumkan kecekapan termasuk menaik taraf perhubungan darat.
Ini bagi menghubungkan semua pintu masuk utama negara dan meningkatkan ketersambungan antara koridor bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Siapa sangka, bandar seperti Raub dan Gua Musang semakin rancak membangun kesan daripada pembangunan jaringan jalan raya. Jalan Kuala Pilah juga sesak dengan lori dan kereta kerana menjadi jalan pintas ke Pantai Timur.
Sehubungan itu, jaringan jalan raya terbukti sebagai pemangkin pembangunan antara wilayah. Ia mampu memendekkan masa perjalanan dan memudahkan perhubungan logistik.
Pada zaman 1970-an dan 1980-an, menjadi trend anak muda dari desa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.
Kini tidak lagi, malah anak muda sekarang membuka perniagaan atau bekerja di pinggir bandar, pekan kecil dan luar bandar kerana ada jaringan jalan raya yang baik selain kemudahan internet. – UTUSAN
NIK KHUSAIRIE JAAFAR, Putrajaya