SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 14 Februari, 8 Mac, Ahad kedua Mei dan Ahad ketiga Jun setiap tahun, masing-masing tarikh memperingati Hari Kekasih, Hari Wanita, Hari Ibu dan Hari Bapa.
Namun, sebagai rakyat tulen, tidak perlu hari-hari khusus untuk meraikan sesuatu perkara yang dianggap istimewa. Cukuplah sambutan Hari Merdeka (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) sahaja.
Sepatutnya kita boleh menghargai wanita dan lelaki serta menghormati ibu bapa setiap hari tanpa menetapkan hari khusus.
Bagi yang beragama Islam, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sudah pun memadai dan tidak wajib meraikan Hari Wanita, Hari Ibu dan Hari Bapa serta hari-hari khusus.
Haram bagi orang beragama Islam menyambut Hari Kekasih kerana amalan menyambutnya tidak pernah dianjurkan dalam mana-mana agama termasuk Islam. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selain haram juga boleh menggugat akidah Islam.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005 pula berpandangan, ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang, namun tidak ada pula hari tertentu yang direka khusus bagi meraikannya secara formal.
Ia memutuskan bahawa menyambut Hari Kekasih juga tidak pernah dianjurkan Islam, bahkan roh sambutan hari tersebut ada unsur-unsur ajaran Kristian secara tersirat.
Bagi kaum Cina, sambutan Tahun Baharu Cina sudah memadai sementara kaum India khususnya yang beragama Hindu, sambutan Deepavali sudah pun cukup.
Kepada semua saluran televisyen dan radio serta media cetak, berhentilah mempromosikan sambutan Hari Wanita, Hari Ibu dan Hari Bapa serta hari-hari khusus untuk meraikan sesuatu benda. – UTUSAN
HAYRIN MATAHIR, Sandakan, Sabah