Gembira roh Felda kembali ke FGV

Gembira roh Felda kembali ke FGV

FGV yang dibina melalui roh dan semangat muafakat antara Felda dan peneroka harus terus menjadi hak warga tanah rancangan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FGV Holdings Berhad (FGV) sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Sdn. Bhd. Asalnya Felda Holdings Berhad (FHB) yang ditubuhkan pada 1995 dan dimiliki 49 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan 51 peratus Koperasi Permodalan Felda (KPF).

KPF pula dianggotai 88 peratus daripada keluarga peneroka dan 12 peratus kakitangan Felda. Daripada fakta tersebut, jelaslah FGV atau FHB asalnya adalah milik dan hasil titik peluh peneroka serta kakitangan Felda.

Tujuan utama penubuhan FHB untuk menjadi sumber pendapatan bagi menjaga hal ehwal warga peneroka serta kakitangan Felda tanpa bergantung kepada kerajaan.

Hasilnya, FHB menyumbang pendapatan kepada Felda lebih RM1 bilion setahun menjadikannya model pembangunan sosioekonomi paling berjaya di dunia.

Laporan Kewangan FGV 2021 baru-baru ini mengumumkankeuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM1.17 bilion.

Ini menunjukkan FGV kembali kepada prestasi asalnya ketika sebelum penyenaraian.

Walaupun kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) semasa adalah penyumbang utama keuntungan, namun dengan barisan pengurusan baharu yang lebih jelas dengan fungsi FGV serta mempunyai roh Felda juga antara sebab pencapaian ini.

Pelantikan Pengerusi FGV yang baharu, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab yang berkhidmat lebih 30 tahun dengan Felda, beliau sangat jelas tujuan penubuhan FHB yang diilhamkan oleh Pengerusi Felda ketika itu, Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

AUTOMASI

Barisan lembaga pengarah yang baharu juga dilihat dapat bersama-sama dalam mencapai gagasan yang digarap oleh kerajaan dalam usaha memulihkan Felda. Sinergi antara Felda dan FGV yang dibina melalui banyak program kolaborasi juga adalah antara peyumbang kepada kejayaan ini.

Prestasi ini juga menunjukkan Pelan Pemulihan Felda yang telah dirangka adalah tepat terutama usaha penguasaan milikan 82 peratus pegangan Felda dalam FGV.

Ini amat penting agar segala hasil dan keuntungan daripada FGV disalurkan semula kepada warga peneroka. FGV sebelum ini ditadbir oleh mereka yang tiada roh Felda dan menganggap syarikat itu tiada tanggungjawab secara langsung kepada peneroka dan generasinya.

Cabaran mengekalkan prestasi ini adalah besar terutama dalam mendepani ancaman kepada produk sawit oleh pihak-pihak tertentu dan mematuhi pelbagai piawaian untuk kemapanan yang ditetapkan dalam industri sawit.

Bagi memenuhi kehendak pematuhan ini, FGV perlu meneroka teknologi terkini dalam industri sawit seperti kilang sifar pelepasan dan teknologi automasi serta menjadikan sisa sawit sebagai sumber pendapatan tambahan.

Apa yang jelas, FGV ialah nadi kepada Felda dan warga peneroka. Prestasinya akan memberi kesan besar kepada kesejahteraan lebih dua juta warga peneroka.

FGV yang asalnya dibina melalui roh dan semangat muafakat antara Felda dan peneroka harus terus menjadi hak warga Felda yang mesti dipertahankan oleh generasi peneroka sampai bila-bila. – UTUSAN

RAUZAN ESA, Generasi kedua Felda

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya