Beradab dengan ulama, ilmuan resipi kejayaan

Beradab dengan ulama, ilmuan resipi kejayaan

KITA dianjurkan untuk mendoakan mereka yang telah meninggal dunia terutama para ulama agar mereka dirahmati dan diredai Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKALI pun peristiwa Israk Mikraj tidak dilihat dan dialami oleh sesiapa pun melainkan Nabi Muhammad SAW, namun iktibar daripadanya tidak pernah bosan diungkap dan diceritakan generasi ke generasi. Pelbagai buku dan dokumentasi menceritakan peristiwa agung ini. Para ilmuan juga saban tahun mengkaji peristiwa ini dari pelbagai perspektif dan sudut bagi menzahirkan lagi kekuasaan Allah SWT serta kemuliaan nabi yang dikasihi oleh-Nya.

Antara peristiwa yang berlaku ialah pertemuan Nabi Muhammad bersama nabi dan rasul lain, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam kitab musnadnya: “Apabila Nabi Muhammad SAW masuk ke dalam Masjid al-Aqsa lalu beliau bersolat kemudian baginda berpaling dan kemudiannya berpaling kembali dan melihat para-para nabi bersolat bersamanya.”

Setelah itu, baginda juga bertemu dengan beberapa nabi di tingkat langit-langit tertentu sebagaimana termaktub di dalam pelbagai kitab hadis dan sirah.

Perutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia bukanlah bertujuan membina asas baharu dalam beragama secara total. Sebaliknya baginda adalah nabi akhir zaman yang mengukuhkan kembali dakwah dimulakan oleh ayah kepada semua manusia, iaitu Nabi Adam a.s sebagaimana ditegaskan pada ayat ketiga surah Ali ‘Imran bermaksud: “Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan kitab-kitab Taurat dan Injil.”

Beberapa pertemuan bersejarah itu membuktikan para nabi kesemuanya adalah bersaudara dalam menjalankan tugasan dakwah sekali gus mendidik kita untuk sentiasa menghormati para ilmuan, cendekiawan dan orang soleh yang telah mendahului kita.

Beradab dengan para ulama dan ilmuan adalah satu resipi kejayaan dan keberkatan hidup. Praktis yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya membina generasi yang begitu membesarkan dan menghormati ilmu sehingga berkembang ke seluruh alam.

Ilmu yang tersebar ini bukan sahaja dibuktikan dengan penghasilan karya dan ijtihad yang begitu bermanfaat kepada manusia. Mereka juga perlu menyumbang kepada satu manifestasi yang berjaya menyatukan manusia di bawah manhaj dan pemikiran yang satu, sebagaimana nama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab empat yang muktabar.

Inilah keberkatan ilmu hasil daripada adab-adab yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dan seharusnya menjadi inti pati utama peristiwa Israk Mikraj kepada kita semua.-UTUSAN

DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya