SAUDARA PENGARANG,
SENARIO perubahan iklim yang ekstrem mengundang kejadian bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Malahan, Malaysia turut diramalkan berdepan situasi bencana alam lebih kerap pada masa akan datang termasuk terbaharu pada 7 Mac lalu apabila beberapa kawasan sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam.
Sebagaimana peribahasa, malang tidak berbau, begitu juga bencana alam yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran.
Langkah terbaik untuk menghadapinya adalah dengan membuat persediaan awal termasuk merangka pelan pengurusan risiko bencana yang strategik dan sistematik.
Bencana alam seperti tanah runtuh sehingga memaksa lebih 200 penghuni di 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor mengosongkan kediaman masing-masing baru-baru ini menyebabkan banyak kemudaratan kepada masyarakat dan persekitaran.
Kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, kecederaan serta kematian dapat dilihat sebagai kesan negatif bencana alam. Malah, kekerapan berlakunya bencana alam turut mencetuskan rasa trauma dalam kalangan masyarakat.
Akibat perubahan iklim tidak menentu serta jumlah taburan hujan luar biasa ketika musim tengkujuh, bencana banjir dan tanah runtuh mudah berlaku di negara ini. Banjir besar baru-baru ini juga adalah yang terburuk pernah dicatatkan sejarah.
Ia telah membuka mata banyak pihak khususnya penduduk di kawasan yang selama ini dianggap selamat dan tidak berisiko.
Maka adalah penting bagi semua pihak untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir pada masa akan datang.
Ungkapan sediakan payung sebelum hujan kini tidak lagi boleh dikhususkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi sahaja. Sebaliknya, semua orang dinasihatkan untuk lebih peka dan membuat persediaan awal serapi-rapinya.
TAUFAN
Aktiviti pengurusan risiko bencana dan kesedaran terhadap bahaya bencana dalam kalangan masyarakat dan komuniti setempat harus diberi keutamaan.
Jepun diiktiraf sebagai sebuah negara terbaik dalam aspek pengurusan risiko bencana. Seharusnya kita jadikan negara matahari terbit itu sebagai rujukan dan panduan.
Walaupun kerap dilanda musibah seperti gempa bumi, taufan dan tsunami yang turut mempengaruhi corak ekonomi, pembangunan dan kehidupan sosial, mereka masih mampu berdiri teguh.
Pengalaman dan kepakaran mereka dalam menguruskan risiko bencana haruslah ditagih dalam memperkasakan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia bagi menghadapi dan menguruskan risiko bencana.
Meskipun bencana alam berada di luar kawalan, namun kemudaratannya masih boleh ditangani dengan langkah merangka dan melaksanakan pelan pengurusan risiko.
Sejauh mana tahap kesiapsiagaan dan persediaan kita dalam mengurus risiko bencana perlu dinilai dan dikaji semula.
Pelaksanaan pengurusan risiko bencana yang strategik dan sistematik berupaya mengawal sebarang kemungkinan dan bahaya jika ia berlaku.
Pengurusan risiko bencana yang menyeluruh harus dilaksanakan di semua peringkat akar umbi dengan penglibatan sepenuhnya masyarakat dan komuniti setempat.
Silibus pembelajaran berkaitan pengurusan risiko juga perlu diterapkan di semua peringkat pendidikan.
Selain itu, keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa pengurusan risiko bencana di setiap komuniti dilihat sebagai langkah terbaik untuk membantu dalam mengenal pasti risiko seperti bencana banjir jika berlakunya kejadian hujan luar biasa dan berterusan. – UTUSAN
MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam