SAUDARA PENGARANG,
PADA 2011, Malaysia merangka draf Dasar Lautan Negara melalui Direktorat Oseanografi Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Rangka ini berfungsi sebagai asas untuk membangunkan strategi masa depan serta pelan tindakan berkaitan pengurusan persekitaran serta sumber lautan dan pantai.
Dasar itu bakal menjadi rujukan utama bagi pembuat keputusan, sektor agensi serta pelaksana dasar bukan kerajaan untuk menangani isu dan menyelaraskan inisiatif ke arah visi yang dipersetujui seperti yang digariskan dalam lima teras strategik dan tindakan utama seperti ekonomi lautan produktif, persekitaran lautan sihat, pangkalan bakat marin dunia pertama, tadbir urus lautan yang baik serta data lautan, sains, teknologi dan inovasi.
Namun, kerangka dasar itu tidak dapat dilengkapkan berikutan berlaku perubahan pada struktur pentadbiran kementerian terlibat.
Sehubungan itu, langkah transformatif perlu diambil dengan membangunkan semula Dasar Lautan Negara yang adaptif dan dinamik untuk menangani konflik lautan yang telah berpuluh tahun lamanya berlaku.
Kementerian dan pihak berkuasa perlu melaksanakan langkah seterusnya dan lebih terbuka dalam menerima cadangan daripada ahli akademik dan pemain industri. Pembangunan dasar lautan bersepadu seharusnya berasaskan data empirikal melalui penyelidikan bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus lautan.
Pembangunan Dasar Lautan Negara juga perlu mengambil kira inisiatif penguatkuasaan perundangan lautan sedia ada untuk melindungi sumber dan ekosistem yang terdedah kepada ancaman pencemaran.
Selain itu, pendekatan pengurusan berasaskan top-down dalam menyelaraskan kementerian dan agensi terlibat serta perancangan spatial marin juga perlu diterapkan.-UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. NOR AIENI MOKHTAR & DR. IZYAN MUNIRAH MOHD. ZAIDEEN, Universiti Malaysia Terengganu