SAUDARA PENGARANG,
IBU bapa atau penjaga diingatkan sentiasa memantau dan mengawasi keselamatan anak-anak dengan memastikan mereka menjauhi pencawang elektrik yang juga merupakan kawasan larangan terutama ketika musim cuti sekolah.
Untuk makluman, kawasan tersebut ditampal notis makluman potensi risiko kejutan elektrik.
Justeru, saya menasihati orang ramai terutama kanak-kanak untuk tidak menceroboh kawasan pencawang atau pepasangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelak risiko renjatan serta pancaran arka (flashover) arus bervoltan tinggi.
Selain kecederaan serius, kemalangan tersebut boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna.
Antara aktiviti tidak dibenarkan di kawasan itu adalah bermain layang-layang, helikopter atau kapal terbang kawalan jauh serta dron.
Selain itu, membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing di kolam atau tasik berhampiran juga mengundang risiko sama.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk memastikan anakanak tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang terutama ketika hujan bagi mengelak terkena renjatan elektrik.-UTUSAN
BULBIR SINGH, bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan