Angka sebenar penagih dadah lebih ramai

Angka sebenar penagih dadah lebih ramai

BERSAMA-SAMA kita banteras ancaman penagihan dadah yang kini menjadi endemik dalam masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN ketara kes-kes penyalahgunaan dadah, serbuan dan tangkapan amat membimbangkan kita.

Laporan yang tersiar di media massa semakin menjadi-jadi. Serbuan dan rampasan syabu, Erimin 5 dan methamphetamine sudah mencecah puluhan juta ringgit.

Kini sindiket dadah kian berani dan agresif menjalankan aktiviti haram mereka. Makmal dadah dibina di kawasan-kawasan elit dalam bandar dengan sistem pengawasan terkini termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

Lebih parah lagi, kita membaca begitu banyak tanah rancangan Felda menjadi sasaran penjualan dan pengedaran dadah. Mereka menjadikan kawasan tersorok di tanah rancangan sebagai lubuk aktiviti yang mengkhayalkan.

Saya pernah berbual dengan seorang pegawai narkotik daerah di selatan tanah air. Katanya, gejala penagihan dadah sangat serius sekarang dan meresap jauh ke dalam masyarakat.

Golongan profesional, pelajar, pekerja awam dan swasta kian hanyut dalam penagihan dadah. Jumlah sebenar penagih, jauh melebihi angka rasmi dikeluarkan oleh kerajaan.

Semua pihak perlu berperanan memerangi penagihan dadah. Dalam kita menyokong usaha-usaha gigih Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baharu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchai, kita perlukan ramai lagi pegawai seperti beliau.

Di peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi, peranan pengurusan universiti dan pentadbir sekolah perlu digerakkan dengan lebih bersepadu.

Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan perlu duduk semeja. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga perlu lebih bersungguh-sungguh memerangi najis dadah.

Kita berharap ada sinar dalam menangani permasalahan dadah ini yang merupakan satu ancaman besar menanti kita, jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.

Generasi muda kita perlu diselamatkan. Bersama-sama kita banteras ancaman dadah. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya