SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya membawa keluarga bercuti ke Ipoh, Perak. Kami sempat ke Night Safari di Zoo Taiping.
Anak-anak begitu teruja untuk melihat haiwan di zoo selepas hampir dua tahun berkurung di rumah dan tidak berjalan-jalan.
Malangnya, dalam situasi negara yang masih mencatat angka jangkitan Covid-19 yang tinggi, nampaknya pengunjung mahupun pihak pengurusan zoo tidak mengendahkan arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Sudahlah pengunjung ramai, SOP tidak pula dijaga. Bagaimana pihak pengurusan boleh membenarkan pengunjung masuk beramai-ramai dan bersesak di dalamnya?
Sepatutnya pihak pengurusan hanya membenarkan seorang dalam kalangan keluarga, rakan atau kumpulan untuk beratur membeli tiket. Kemudian, hadkan bilangan pengunjung di dalam. Ini kerana pengunjung terpaksa bersesak menunggu giliran untuk menaiki trem.
Bukan sahaja risau dijangkiti Covid-19 tetapi dalam keadaan begitu, anak kecil mula membuat ‘perangai’ serta meragam kerana terpaksa berpanas ketika menunggu giliran.
Ya, saya faham pihak pengurusan mungkin berfikiran bahawa pengunjung sudah lengkap vaksin, mungkin ada juga yang sudah dapat dos penggalak. Namun, itu bukan jaminan seseorang tidak boleh dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi turut melibatkan nyawa kanak-kanak yang tiada perlindungan vaksin.
Janganlah disebabkan mahu mengejar untung semata-mata sehingga sanggup membahayakan nyawa orang ramai. Tidak salah jika mengekalkan SOP sedia ada. Saya yakin pengunjung akan faham sekiranya terpaksa menunggu lama selagi ia memberi keselamatan kepada dirinya dan keluarga.
Harap pihak pengurusan zoo lebih peka berhubung isu ini dengan kembali mengetatkan semula SOP kepada pengunjung. Jika terus begini dan memandang ringan tentang jangkitan Covid-19 dengan alasan sudah divaksin, pastinya negara tidak akan bebas daripada wabak tersebut selama-lamanya. –UTUSAN
FITRI, Kuala Lumpur