Teruskan bekerja dari rumah

Teruskan bekerja dari rumah

BEKERJA dari rumah boleh menjadi amalan sektor pekerjaan pada masa hadapan sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan pekerja. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 membawa banyak perubahan kepada dunia. Sektor pekerjaan juga tidak terkecuali. Disebabkan pandemik, hampir seluruh dunia diperkenalkan kepada konsep bekerja dari rumah.

Konsep ini mencabar kepercayaan lama bahawa operasi syarikat perlu berlaku secara berpusat dan berpejabat. Dengan kemajuan teknologi dan desakan pandemik, kini kita tahu kebanyakan pekerjaan boleh dilaksanakan dari jarak jauh tanpa perlu mengumpulkan semua pekerja dalam satu pejabat.

Bukan sahaja kita tahu konsep ini tidak mustahil, ia juga membawa banyak kebaikan. Sebagai seorang pekerja yang perlu mengorbankan masa hampir sejam setengah untuk ke pejabat, amalan bekerja dari rumah sangat menyenangkan saya.

Bukan sahaja menjimatkan masa, bekerja dari rumah juga membantu saya menambah simpanan bulanan hasil penjimatan belanja minyak, tol dan tempat letak kenderaan. Amalan ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekian lama menjadi masalah buat rakyat.

Bayangkan, jika separuh daripada kereta golongan bekerja di Kuala Lumpur tiada di jalan raya, bagaimana ia dapat mengurangkan kesesakan? Ia juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan.

Apa yang penting, majikan perlu memberi kepercayaan kepada pekerja untuk bekerja dari jarak jauh. Mungkin majikan rasa tidak senang duduk apabila tidak dapat melihat pekerja bekerja secara fizikal, namun pemantauan masih dapat dibuat melalui hasil kerja mereka. Tidak kiralah bekerja dari rumah atau pejabat, apa yang penting ialah produktiviti.

Sehubungan itu, saya berharap amalan bekerja dari rumah dapat diteruskan walaupun kita akan memasuki fasa endemik. Benda baik, apa salahnya kita kekalkan. Saya percaya, amalan ini ialah masa hadapan sektor pekerjaan.

Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, majikan sepatutnya melaksanakan apa sahaja yang boleh untuk membantu mengurangkan beban kewangan pekerja. -UTUSAN

RAISYAM NOR, Klang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya