SAUDARA PENGARANG,
DALAM kesibukan seharian, kita sering kali terlupa untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Perubahan gaya hidup yang lebih pantas dan mencabar pada hari ini sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Ketidakseimbangan dalam menjalankan aktiviti harian memberi kesan negatif kepada tahap kesihatan.
Pengambilan makanan secara tidak sihat, merokok, tidak melakukan aktiviti sukan dan riadah, tidak berehat secukupnya serta gagal menangani stres adalah antara punca kepada masalah kesihatan pada hari ini.
Lazimnya, masalah kesihatan seperti penyakit kritikal sering dikaitkan dengan golongan yang lebih berusia.
Tetapi pada hari ini, semakin ramai golongan muda dilaporkan menghidap penyakit kritikal seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Menurut Kementerian Kesihatan, tahap kesedaran yang rendah terhadap aspek kesihatan dalam kalangan masyarakat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak sihat.
Diuji dengan musibah seperti penyakit kritikal bukan sahaja meninggalkan kesan negatif terhadap fizikal dan emosi, bahkan boleh mengganggu-gugat kestabilan kewangan.
Dengan peningkatan kos rawatan perubatan pada hari ini, sudah tentu kita tidak mahu diuji dengan keadaan sebegini.
Perancangan dan persediaan awal seperti mengambil perlindungan penyakit kritikal adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada sebarang risiko yang tidak diduga.
Sebagai contoh, kita mungkin tidak dapat meneruskan pekerjaan sekiranya didiagnosis menghidap penyakit kritikal dan akhirnya kehilangan sumber pendapatan.
PAMPASAN
Dengan adanya manfaat daripada perlindungan penyakit kritikal, ia boleh dijadikan sebagai penggantian pendapatan.
Umumnya, manfaat utama perlindungan penyakit kritikal memberi pampasan sekiranya didiagnosis dengan salah satu penyakit kritikal yang dilindungi di bawah polisi insurans/sijil takaful.
Berbeza daripada manfaat perlindungan perubatan yang hanya menanggung kos rawatan perubatan di hospital, perlindungan penyakit kritikal menyediakan sejumlah wang tunai sebagai pampasan kepada orang yang dilindungi.
Pampasan ini boleh digunakan untuk menampung segala perbelanjaan termasuk keperluan harian dan tidak terhad kepada rawatan perubatan di hospital sahaja.
Penting mengetahui perlindungan penyakit kritikal yang ditawarkan oleh syarikat insurans/pengendali takaful di Malaysia adalah berbeza.
Kebiasaannya, skop perlindungan yang ditawarkan adalah berbeza dan bergantung kepada tahap penyakit kritikal yang dialami sama ada di peringkat awal, pertengahan atau akhir.
Perlindungan penyakit kritikal yang berpatutan dan mampu milik merangkumi penyakit kritikal yang utama seperti serangan jantung, penyakit paru-paru, kanser, kegagalan buah pinggang dan hati, strok, penyakit arteri koronari, pembedahan injap jantung, angioplasti serta rawatan invasif yang lain.
Bagi individu yang mahukan perlindungan penyakit kritikal komprehensif, disarankan merujuk dan berbincang dengan mana-mana pengantara syarikat insurans/pengendali takaful bagi skop perlindungan lebih meluas.
Secara prinsipnya, jumlah perlindungan penyakit kritikal yang sesuai dan berpatutan haruslah sekurang-kurangnya menyamai tiga kali jumlah gaji tahunan.
Umumnya, semakin lanjut usia ketika memohon, semakin tinggi kadar bayaran premium yang akan dikenakan. Justeru, sediakanlah payung sebelum hujan. – UTUSAN
MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam