SAUDARA PENGARANG,
SESI pengajian hampir sampai ke penghujung walaupun sesi secara bersemuka hanya dapat dijalankan sejak 15 Oktober 2021 selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan kemasukan semula mahasiswa ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mereka yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Pengumuman tersebut memberi kelegaan bukan sahaja kepada pelajar, malah pensyarah. Maklumlah, bukan mudah untuk mengendali dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah selama lebih setahun disebabkan pandemik.
Persoalannya, dapatkah pelajar dan pensyarah menerapkan norma baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di saat jangkitan Covid-19 masih berlegar?
Pengawalan dan penjarakan sosial di dalam bilik kuliah mungkin tidak menjadi masalah besar kerana boleh dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh IPT masing-masing. Namun, cabaran yang perlu ditempuhi adalah semasa mahasiswa menyiapkan tugasan secara berkumpulan.
Tempoh penyiapan tugasan berkumpulan ini bergantung kepada perancangan pensyarah. Kalau dilihat proses kerja berkumpulan sebelum pandemik melanda, pelajar perlu meluangkan masa bersama ahli kumpulan dalam tempoh masa agak panjang untuk menyiapkan tugasan diberi. Namun, dalam situasi semasa, walaupun semua pelajar telah lengkap dua dos vaksin berserta dos penggalak, mereka masih perlu meminimumkan perjumpaan secara bersemuka dan digalakkan membuat perbincangan secara dalam talian.
Sekiranya terdapat keperluan membuat perbincangan bersemuka dalam tempoh lama, pelajar perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memilih tempat perbincangan yang terbuka atau berpengudaraan baik, sentiasa memakai pelitup muka, selalu mengamalkan kebersihan kendiri dan sanitasi peralatan yang dikongsi.
Peringatan ini nampak mudah untuk dipraktik, namun kealpaan dalam mengimplementasi norma baharu ini memungkinkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mahasiswa, seterusnya merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran di IPT.- UTUSAN
AHMAD SHARIM ABDULLAH & DR. HIKMAH KAMARUDIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam