SAUDARA PENGARANG,
AMAT kecewa kerana tiada papan tanda bagi menunjukkan arah sehingga menyebabkan pengguna tersalah masuk atau terlajak ke lebuh raya berkembar di Bukit Kukus ketika melalui jejambat yang dikatakan paling tinggi di Malaysia. Malah, ramai pengguna lebuh raya itu terpaksa membuat pusingan U yang agak jauh jika hendak memasuki laluan tersebut.
Kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) harus peka dengan masalah ini, lebih-lebih lagi melibatkan pengguna jalan raya yang mungkin jarang melalui jalan tersebut atau ketika memandu pada waktu malam. Jika boleh, letakkanlah papan tanda berwarna berbeza agar mudah difahami oleh pengguna.
Dari pengamatan saya sendiri, pembinaan lebuh raya ini merupakan satu pembaziran kerana ia hanya dijadikan laluan alternatif menghubungkan tiga destinasi antaranya laluan ke Balik Pulau, Bukit Jambul dan Bukit Gambir. Justeru, adakah lebuh raya ini mampu menyelesaikan masalah aliran trafik serta menjadi keperluan utama penduduk?
Sepatutnya kerajaan negeri memberi lebih perhatian dalam menyelesaikan masalah yang telah lama menyelubungi penduduk seperti di laluan dari Paya Terubung atau Relau menuju Balik Pulau yang kerap berlaku tanah runtuh dan kemalangan.
Alangkah bagusnya jika kos pembinaan projek lebuh raya berkembar yang menelan belanja hampir RM5.45 juta itu dimanfaatkan bagi menyambung kerja-kerja menaik taraf laluan Bukit Belah, Bayan Lepas yang tergantung ekoran kerap berlaku kesesakan semasa waktu puncak.
Malah bagi saya, projek lebuh raya itu dilihat bermotifkan politik kerana dipercayai menguntungkan penduduk berhampiran yang rata-ratanya bukan bumiputera.
TOK WALI SONGEI, Bayan Mutiara, Pulau Pinang