SAUDARA PENGARANG,
BANJIR besar di pantai barat Semenanjung baru-baru ini berkait rapat dengan kesan perubahan iklim di mana banyak kerosakan harta benda dan nyawa dilaporkan.
Kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini tidak semena-mena menjadi lautan banjir dan sampah sarap.
Mangsa banjir yang terkesan mengadu tiada amaran awal diuar-uarkan kepada mereka.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan rasmi amaran awal di laman sesawang dan aplikasi myCuaca beberapa hari sebelum banjir berlaku.
Kesan perubahan iklim dijangka menjadi semakin meruncing di negara kita. Kajian di Kutub Utara dan Kutub Selatan menunjukkan panahan kilat semakin kerap berlaku.
Fenomena luar biasa ini adalah petanda jelas bahawa krisis iklim dunia semakin meruncing kerana kilat di Artik dan Antartika sangat jarang berlaku.
Memetik fakta daripada penerbitan jurnal di Geophysical Research Letter oleh kumpulan penyelidikan Profesor Holzworth dari University of Washington, kekerapan panahan kilat di Artik meningkat sepanjang 10 tahun lepas. Iaitu daripada 30,000 kilat pada 2010 meningkat ke 240,000 pada 2020.
Kajian fenomena kilat di Semenanjung Antartika yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama penyelidik Korea Selatan mendapati lebih daripada 5,000 panahan kilat dikesan di antara Januari 2020 dan Mac 2021.
Panahan kilat di Semenanjung Antartika dikesan menggunakan penderia elektromagnet kilat yang ditempatkan di Stesen Raja Sejong milik Institut Penyelidikan Kutub Korea (KOPRI).
PANAS
Kajian yang dijalankan di Antartika oleh penyelidik Malaysia ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2012 dengan objektif untuk menggalakkan program penyelidikan saintifik di benua Artik dan Antartika.
Fenomena meningkatnya kekerapan panahan kilat di Artik dan Antartika diakibatkan oleh bahagian kutub menjadi lebih panas. Apabila kawasan kutub menjadi semakin panas, lebih banyak ais dan glasier mencair.
Seterusnya, paras air laut meningkat dengan mendadak dan banyak kawasan rendah di seluruh dunia akan tenggelam. Peningkatan suhu permukaan lautan dan daratan di Artik dan Antartika juga akan meningkatkan lagi kekerapan panahan kilat.
Fenomena kilat berkait rapat dengan pemanasan global. Semakin panas kawasan tropika seperti Malaysia, lebih kerap kilat bersama ribut, hujan lebat dan tornado (pusaran angin) akan berlaku.
Hujan lebat untuk tempoh lebih dari tiga jam akan menyebabkan banjir kilat berlaku seperti yang telah kita lihat semasa banjir besar di pantai barat Semenanjung, baru-baru ini.
Ribut dan puting beliung juga semakin kerap berlaku seperti yang terjadi di Ipoh beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Pemanasan global juga akan meningkatkan paras air laut. Kajian mendapati seluas 1,676 hektar tanah di Batu Pahat, Johor telah ditenggelami air antara 2015 dan 2020.
Dianggarkan sebanyak 1,875 hektar lagi kawasan di situ akan tenggelam secara kekal pada 2040.
Justeru, penyelidik perlu lebih aktif menjalankan kajian supaya dapat memberikan maklumat berasaskan bukti kajian saintifik kepada pembuat dasar dalam usaha merangka polisi jelas dalam memitigasi kesan perubahan perubahan iklim.
PROFESOR MADYA DR. MOHD. RIDUAN AHMAD, Penyelidik polar di UTeM