SAUDARA PENGARANG,
GOLONGAN sesat sentiasa wujud pada setiap masa dan tempat disebabkan kejahilan, kedegilan dan mempercayai ilmu daripada sumber tidak benar.
Ia juga berpunca kerana menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.
Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran yang bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.
Ia turut bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.
Kategori dan ruang lingkup ajaran sesat merangkumi tiga aspek iaitu kepercayaan atau akidah, pengamalan atau syariat dan akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhan.
Terdapat beberapa impak negatif ajaran sesat yang timbul dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang wajar diambil tindakan dan dibanteras segera kepada individu serta golongan terbabit.
Pertama, mencemari kesucian ajaran Islam. Dakwaan semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu adalah suatu kesesatan.
Kedua, mendewa dan menganggap para pemimpin adalah suci seperti bersifat maksum (tidak berdosa), sebagai Imam Mahdi, nabi, jelmaan Tuhan atau Tuhan.
Ketiga, mendakwa mengetahui perkara akan datang atau mampu berinteraksi dengan jin, syaitan, roh, wali, nabi dan malaikat.
Akhirnya, pihak berautoriti agama perlu memainkan peranan yang penting dalam pemeliharaan agama selaras maqasid syariah.
Ini penting ketika masyarakat Islam mudah terpengaruh dengan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu yang tular dalam kecanggihan teknologi masa kini. – UTUSAN
DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam