SAUDARA PENGARANG,
PADA era 1980-an, anak-anak dihantar mengaji ke rumah tok guru, madrasah atau masjid secara beramai-ramai. Selalunya kelas mengaji diadakan antara waktu maghrib dan isyak.
Tiada bayaran dikenakan tetapi ibu bapa selalunya memberikan sagu hati kepada tok guru dalam bentuk barang-barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya.
Betapa meriahnya bila dikenangkan momen bersama-sama rakan menikmati juadah meraikan mereka yang sudah khatam al-Quran.
Namun, situasi berbeza berlaku pada hari ini. Anak-anak tidak lagi bebas keluar secara sendirian pergi mengaji pada waktu malam di madrasah atau ke rumah tok guru atas faktor keselamatan.
Ada ibu bapa mengambil inisiatif menghantar anak-anak ke kelas al-Quran mingguan, kelas mengaji secara dalam talian dan ada yang mengupah ustaz atau ustazah untuk datang ke rumah mengajar anak-anak mengaji al-Quran.
Terdapat pelbagai teknik dan pendekatan diperkenalkan. Modul-modul pembelajaran juga semakin rancak dibangunkan bertujuan membantu pelajar mengenal huruf seterusnya membaca al-Quran dengan lancar dan betul.
Kepada ibu bapa yang berpeluang mengajar sendiri anak-anak mengaji al-Quran, anda sememangnya hebat.
Ibu bapa yang tidak berkesempatan mahupun tidak berkemampuan pula, jangan berasa rendah diri kerana anda masih berpeluang mendaftarkan anak-anak mengikuti kelas pengajian al-Quran yang dianjurkan secara maya mahupun bersemuka.
Walaupun kaedah mengaji al-Quran pada zaman dahulu sudah tidak lagi wujud pada hari ini, namun usaha ibu bapa dalam menyediakan pendidikan agama kepada anak-anak harus diberi pujian.
Sesungguhnya, tiada harta yang lebih berharga boleh ditinggalkan oleh ibu bapa selain ilmu bermanfaat untuk anak-anaknya.
NURSYUHADA’ AB. WAHAB, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)