SAUDARA PENGARANG,
PENAHANAN beberapa orang dari sebuah anak syarikat Boustead Holdings Berhad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan untuk projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS).
Projek LCS yang sepatutnya melihat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima enam kapal bermula 2019, telah diberhentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran siasatan pihak berkuasa ke atas penyelewengan kepada projek bernilai lebih RM9 bilion itu.
Namun, saya amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyatakan isu LCS masih belum selesai walaupun SPRM kelihatan sudah mula mengambil tindakan.
Kerajaan sekarang perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan perkara ini tidak berulang baik dalam projek LCS ataupun projek-projek perolehan lain dalam industri pertahanan.
Dalam pada itu, projek LCS perlu diteruskan kerana ia membawa manfaat cukup besar kepada sistem pertahanan negara.
Namun, kerajaan perlu bijak mengambil peluang ini dengan melakukan beberapa perubahan bagi memastikan bukan sahaja projek ini dapat diteruskan untuk kepentingan negara tetapi masalah-masalah dihadapi tidak berulang.
Sebagai seorang yang terlibat dalam industri pertahanan, saya amat mengharapkan siasatan berkenaan isu LCS ini membuka mata para pemimpin dan pembuat dasar negara tentang perlunya perubahan menyeluruh sistem perolehan yang diguna pakai kerajaan terutama membabitkan industri pertahanan.
Sebenarnya, industri pertahanan negara mempunyai peluang amat besar untuk berkembang dan boleh menjana pertumbuhan ekonomi pascapandemik Covid-19.
Namun, sistem perolehan kerajaan juga perlu ditambah baik untuk memastikan industri ini dapat berkembang secara terbuka dan sihat.
Saya ingin mencadangkan tiga perubahan yang boleh memastikan industri pertahanan negara menjadi lebih terbuka dan kompetitif.
Pertama, terlalu ramai pemain di dalam industri yang sekadar menjadi orang tengah atau broker projek. Ini perlu dihentikan.
Untuk perolehan aset strategik, kerajaan boleh berunding terus dengan pengeluar. Tidak perlu menggunakan broker atau orang tengah. Budaya orang tengah ini terlalu mudah untuk disalah guna bagi menghalalkan rasuah.
Kedua, untuk nilai projek yang besar, misalnya projek melebihi RM1 billion, mekanisme pemantauan oleh badan bebas perlu diwujudkan untuk memastikan projek berkos besar ini dapat dijalankan dengan telus dan lancar.
Ini amat penting untuk menggalakkan sistem semak-imbang yang berkesan dan memastikan KPI ditetapkan, dipatuhi sebaik mungkin.
Ketiga, sistem pembayaran oleh kerajaan dalam perolehan aset ketenteraan perlu berdasarkan tahap kesiapan dan bukan bergantung pada garis masa.
Bayaran hanya dibuat apabila tahap kesiapan yang dipersetujui dalam garis masa pengurusan projek dipenuhi. Misalnya apabila siap 30 peratus projek, 30 peratus bayaran akan dibuat oleh kerajaan.
Industri pertahanan negara kini dilihat sebagai lubuk emas yang penuh kekotoran dan cukup tidak berintegriti.
Saya percaya jika cadangan-cadangan ini diterima oleh kerajaan, imej buruk industri pertahanan negara dapat dibaik pulih dan ini boleh menjana pertumbuhan serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.
Apa yang lebih penting, kerajaan perlu mengambil langkah berani. Saya merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mensia-siakan peluang keemasan ini bagi meletakkan industri pertahanan negara berada di landasan yang betul.
HAJI MD. KASSIM, Kuala Lumpur