Biar Parlimen berlangsung hingga habis

Biar Parlimen berlangsung hingga habis

Malaysia boleh mencontohi Indonesia yang menetapkan pemilihan Presiden dilangsungkan secara automatik pada tarikh tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELEPAS kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ada pihak mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipercepatkan dengan mengambil kira beberapa pertimbangan.

Antaranya supaya momentum kemenangan BN dapat dikekalkan. Ini pada saya adalah pemikiran orang politik yang sentiasa mahu menang dan menjadi dominan.

Bagi saya ini semua tidak perlu kerana kita tidak tahu apa yang boleh berlaku dalam PRU15. Tambah lagi dengan kemasukan begitu ramai pengundi baharu.

Usahlah kita menjadi seperti peribahasa Melayu, mendengarkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.

Sebaliknya manfaatkan sepenuhnya kuasa sedia ada di tangan untuk melakukan apa yang terdaya dengan sebaik mungkin bagi memulihkan negara.

Berilah masa secukupnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi bahtera kejayaan ini sehingga ke penghujungnya, iaitu bila penggal Parlimen berakhir pada awal 2023.

Ini kerana sudah banyak kebaikan dan pembaharuan yang beliau bawa kepada negara dalam tempoh singkat ini.

Kami ahli-ahli akademik melihat Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin jujur dan ikhlas bila Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) ditandatangani, butirannya benar-benar dilaksana.

Memang benar jangka hayat MoU tersebut akan berakhir pada 31 Julai 2022. Ini kerana sehingga tarikh itu sahaja kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen.

DUA PARTI

Tetapi walaupun ia sudah berakhir, semangat MoU itu harus dikekalkan sehingga ia semacam akan menjadi normal baharu dari segi kerjasama yang terjalin antara kerajaan dan parti-parti pembangkang.

Biarlah satu-satu penggal Parlimen itu berlangsung sehingga habis, baharulah PRU15 diadakan untuk mendapatkan mandat baharu yang segar kepada seorang Perdana Menteri lain, sama ada Ismail Sabri atau seorang pemimpin lain dari parti yang sama atau dari parti lain.

Untuk menjadikan politik negara lebih stabil, kami ahli-ahli akademik yang berpandangan serupa berpendapat selain pengenalan akta antilompat parti, satu langkah besar yang boleh diambil ialah menjadikan tarikh PRU sebagai suatu perkara yang tetap.

Kita perlu ambil contoh daripada perlembagaan negara yang lebih maju seperti Amerika Syarikat, malah negara jiran kita, Indonesia juga yang memperuntukkan pemilihan Presiden di negara mereka wajib secara automatik dilangsungkan pada tarikh tertentu.

Jika peruntukan begini dapat dimasukkan ke dalam perlembagaan negara kita maka akan hilanglah ketidaktentuan dan politiking berlebihan dalam negara sekali gus boleh menjadikan semua pihak dapat fokus kepada kerja masing-masing sehinggalah tarikh PRU tiba.

Dari sudut budaya politik pula, saya membaca yang kita sebenarnya menuju ke arah sistem dua parti yang sentiasa akan ada persaingan antara dua pihak.

Dan saya rasa ia adalah baik untuk negara kerana memberikan pilihan serta semak dan imbang kepada rakyat dan kerajaan.

Apa yang paling penting dalam suasana kita masih menghadapi banyak masalah dalam negara ialah pengekalan kestabilan politik supaya pemulihan ekonomi yang sedang berjalan pesat sekarang tidak terencat dan setakat ini kestabilan politik mampu diberi oleh Ismail Sabri. – UTUSAN

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya