SAUDARA PENGARANG,
ISU pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hangat diperkatakan. Satu pihak mendesak pengeluaran tambahan manakala satu lagi pihak mendesak pengeluaran ini diberhentikan.
Semua maklum kesan ekonomi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan golongan berpendapatan rendah (B40) paling teruk terjejas.
Oleh itu, kerajaan membenarkan pengeluaran kecemasan caruman KWSP demi menjaga kebajikan rakyat menerusi skim-skim i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar. Pengeluaran ini mencapai jumlah RM101 bilion melibatkan 7.4 juta pencarum.
Demi memahami kenapa ramai cendekiawan tidak sependapat dalam isu pengeluaran KWSP, kita perlu tahu ilmu ekonomi.
Asalnya, terdapat teori ekonomi dipanggil keluk-J. Jika terdapat kesan dalam ekonomi, biasanya akan pulih dalam masa 18 bulan yakni setahun setengah.
Tetapi kesan rantaian penawaran disebabkan masalah Covid-19 adalah lebih lama.
Sebagai contoh, semasa kegawatan ekonomi melanda negara dan rantau Asia pada 1997 disebabkan spekulasi mata wang, kesannya tidak selama Covid-19.
Tetapi pada masa kini disebabkan penutupan ekonomi berpunca daripada masalah kesihatan. Selagi kesihatan bermasalah, ekonomi juga berdepan masalah.
Langkah membenarkan pengeluaran kecemasan KWSP sebelum ini adalah berdasarkan jangkaan ekonomi akan pulih dalam tempoh 18 bulan sahaja iaitu tahun ini.
Pembukaan ekonomi adalah kunci kenapa pengeluaran tambahan KWSP ini tidak dibenarkan. Wang persaraan juga semakin mengecil terutama kepada pencarum dalam kalangan B40.
HUJAH
Kebanyakan idea yang menghalang pengeluaran tambahan caruman KWSP adalah berdasarkan mazhab (pemikiran) yang dipanggil ekonomi klasik. Campur tangan kerajaan secara berlebihan tidak digalakkan.
Tetapi terdapat mazhab ekonomi yang dipanggil Keynesian yang membenarkan campur tangan aktif daripada kerajaan untuk membantu institusi ekonomi terutama semasa kegawatan ekonomi.
Pasaran lambat untuk dipulihkan jika dibiarkan sendirian. Oleh itu, terdapat ramai pejuang ekonomi membicarakan kenapa perlu suntikan modal seperti wang bantuan kerajaan dan pengeluaran tambahan KWSP untuk menangani isu ini.
Itulah sebabnya ramai ilmuwan menegakkan hujah masing-masing yang nampak bertentangan berpunca daripada perbezaan mazhab dalam ilmu ekonomi.
Ketika ahli-ahli ekonomi masih tidak mencapai kata sepakat, kesan kenaikan harga barang terutama makanan bertambah teruk.
Pada masa sekarang, kerajaan sangat proaktif menangani masalah ini. Tetapi ia bukan mudah untuk diselesaikan. Kerajaan menyediakan banyak suntikan fiskal, pengurangan kadar faedah semalaman dan sebagainya.
Polemik KWSP perlu diselesaikan secara ilmiah, sama ada untuk bertumpu pada kesejahteraan hari tua atau kelegaan pada masa sekarang.
Tidak salah berdebat terhadap perbezaan kabilah dalam ekonomi. Tetapi isu sekarang adalah makanan yang perlu dihidangkan setiap hari.
Diharap ahli politik, ilmuwan dan rakyat boleh bekerjasama menyelesaikan masalah ini. – UTUSAN
MOHD. AZLAN MAJID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau