SAUDARA PENGARANG,
ISU penggunaan bahasa Inggeris kembali hangat diperkatakan selepas penggunaan nama Inggeris di taman perumahan mendapat perhatian masyarakat. Antaranya Bandar Springhill, Taman Lavender Heights di Seremban. Perkara sama juga banyak berlaku di Selangor dan lain-lain tempat di seluruh negara.
Timbul persoalan berhubung peranan pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan penggunaan nama Inggeris walaupun dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan nama taman, papan tanda, jalan dan sebagainya perlu menggunakan bahasa
Melayu.
Jika dilihat, penggunaan bahasa Inggeris sangat meluas di projek perumahan. Ia sekali gus menunjukkan kelemahan penguatkuasaan dan wujud unsur merelakan penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris.
Menurut Tokoh Warisan Kebangsan Orang Hidup , Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, PBT perlu lebih peka dalam soal kepentingan bahasa Melayu dan budaya tempatan.
Justeru, pada pandangan saya, pihak berwajib perlulah menggunakan kuasa dalam memberi dan membenarkan penggunaan bahasa Melayu serta membatalkan permohonan jika menggunakan nama bahasa asing.
Jika boleh, syarat penggunaan nama dalam bahasa Melayu dalam sesuatu projek perumahan perlu disertakan dan ia perlu dianggap sama penting dengan syarat lain untuk mendapatkan sijil layak menduduki atau CF.
Ketegasan kerajaan
Beri tempoh kepada pemaju untuk menukar nama taman perumahan sedia ada dalam bahasa Melayu atau menarik lesen pemaju berkenaan sebagai ketegasan kerajaan dalam memartabat penggunaan bahasa Melayu.
Pemaju yang sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris menunjukkan tahap kesedaran rendah terhadap bahasa kebangsaan dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. Lebih teruk lagi, mereka tidak menunjukkan jati diri dan meremehkan kepentingan dan fungsi Akta Bahasa Melayu Kebangsaan. Mereka sedikit pun tidak berasa bangga menggunakan nama Melayu walaupun lahir, membesar serta mendapat pendidikan di sini.
Sudah sampai masanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberikan kuasa untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di taman perumahan, jalan, papan tanda dan tempat awam menggantikan peranan PBT yang kelihatan tidak tegas dan lesu.
Kita tidak mahu peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ini dikesampingkan kerana dikatakan tiada nilai komersial sementara bahasa Inggeris diguna pakai untuk tujuan komersial. Bahasa Melayu hanya akan dilihat bernilai tinggi jika semua pihak mengangkat martabatnya setinggi mungkin dan tidak menjadi hamba kepada bahasa asing.-UTUSAN
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang