SAUDARA PENGARANG,
PANDEMIK Covid-19 yang mengancam dunia termasuk Malaysia memasuki usia hampir dua tahun. Ia membuatkan ramai dalam kalangan masyarakat terganggu emosinya kerana bukan sahaja hilang pekerjaan, malah ada juga hilang ahli keluarga.
Antara langkah dibuat kerajaan adalah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 dan kini memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pelaksanaan PKP bertujuan memutuskan rantaian jangkitan dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) lain yang digariskan.
Dalam pada itu, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan termasuk kewangan tetapi itu tidak menjanjikan kestabilan emosi kepada rakyat.
Ini kerana ada individu tinggal berseorangan, ada juga tinggal bersama keluarga dan ada pelajar berada di asrama bersama kawan-kawan yang memerlukan sokongan dari segi emosi.
Perubahan mendadak dari segi gaya hidup memberikan satu impak besar kepada mereka. Mereka bagaikan tiada hala tuju, hilang arah setelah mendengar pelbagai arahan baharu yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Baharu sahaja reda dengan penurunan kes jangkitan Covid-19, negara digemparkan lagi dengan varian baharu iaitu Omicron dan berlaku peningkatan apabila 11,034 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negara ini, semalam.
Ini membimbangkan rakyat kerana kini sekolah sudah dibuka manakala sektor-sektor pekerjaan telah beroperasi sepenuhnya.
Walaupun vaksin telah diambil, masyarakat harus sentiasa mengamalkan SOP yang digariskan. Dalam usaha menuju negara makmur pada 2030, kerajaan berhasrat membina persekitaran kehidupan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjadikan kita semua dalam keadaan sihat dan kembali normal.
Antara yang penting adalah kestabilan emosi kerana ia mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dengan orang lain.
Apabila seseorang mempunyai tahap kecerdasan emosi memuaskan, tekanan hidup seharian yang dilalui akan dapat ditangani dengan baik dan dapat memikirkannya secara rasional, tenang dan tidak membahayakan diri.
Sebagai contoh, sesuatu masalah dan kesilapan yang kita lakukan dalam sesuatu pekerjaan boleh ditangani dengan baik melalui cara berfikir yang positif.
Individu akan mencari jalan bagaimana untuk memperbaiki kesilapan mereka. Kesannya, seseorang akan menjadi lebih tenang dan berkeyakinan tinggi.
Aspek kestabilan dan kecerdasan emosi ini sering kali dipandang remeh oleh masyarakat kita kerana ia biasanya tidak terzahir secara fizikal.
Namun, apabila masalah emosi ini berlaku secara terus menerus dalam tempoh lama, ia semestinya memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Justeru, amat penting untuk masyarakat sedar dan peka dengan isu emosi ini agar ia tidak menjadi barah yang boleh memburukkan lagi ekoran terdapat pula varian baharu yang kini melanda negara kita.
Untuk memastikan emosi rakyat tidak terus terganggu, jangkitan Covid-19 harus dihentikan.
Caranya adalah dengan mengikut nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya kita terus mengamalkan penjarakan fizikal, tetap memakai pelitup muka, elak kawasan tumpuan ramai dan perhimpunan besar-besaran.
Pastikan kita juga tidak menjadi kontak rapat dengan individu berisiko bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19.
DR. NOOR AFZALIZA NAZIRA IBRAHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah