Baling damak bukan sukan orang jahat - Utusan Malaysia

Baling damak bukan sukan orang jahat

SUKAN baling damak bagus untuk meningkatkan koordinasi mata dan tangan dan boleh dimainkan secara berpasukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA disebut sukan dart (baling damak), banyak sisi negatif yang akan kita dengar kerana sebelum ini ia sering dimainkan di pub dan bar sehingga dikaitkan dengan minum arak.
Ini membuatkan ramai ibu bapa menghalang anak-anak mereka untuk menceburi sukan ini. Sebenarnya sukan ini banyak kelebihan dari segi kesihatan.

Sukan yang dicadangkan beberapa pihak supaya dimasukkan dalam acara Sukan Olimpik Paris 2024 memerlukan ketepatan sangat tinggi. Lebih kerap bermain, lebih tepat sasaran pada papan baling damak. Koordinasi mata dan tangan akan meningkat sekali gus menambah keupayaan kita dalam kehidupan seharian.

Sukan ini mempunyai banyak jenis permainan dan antara yang popular adalah kiraan menurun daripada 501 kepada 0 mata dinamakan 501 double out.

Permainan ini membuatkan otak lebih aktif dalam menentukan strategi untuk menyelesaikannya. Ia melatih otak untuk menjadi lebih aktif dalam kira-kira. Sukan ini boleh dijadikan satu kaedah untuk guru mengajar subjek Matematik.

Akademi Thistley Hough di United Kingdom menjadikan sukan ini sebagai satu aktiviti kurikulum bagi membuatkan pelajar lebih tertarik dengan mata pelajaran Matematik.

Permainan terbabit melatih tubuh dan otak untuk lebih menumpukan perhatian, bukan sahaja perlu tepat membaling dan mengira, tetapi harus mengalih perhatian daripada isu-isu lain dan membuatkan otak lebih tenang.

Bagi mereka yang kurang bersosial, baling damak adalah sukan yang boleh dimainkan secara berpasukan. Ini secara tidak langsung membolehkan kita bersosial dengan rakan-rakan secara lebih kerap.

Apabila bermain sama ada dalam kejohanan mahupun secara sosial, kita akan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain sekali gus meningkatkan kebolehan untuk bekerja dalam satu pasukan.

Sukan ini memerlukan fokus yang sangat tinggi, sama ada mengira markah atau membayangkan lokasi arah baling damak untuk melekat. Kebolehan untuk fokus adalah sangat kritikal. Ini membolehkan seseorang mempunyai tumpuan yang sangat tinggi.

Dalam sukan ini, kemenangan adalah satu cara untuk meningkatkan keyakinan. Ini kerana setiap pemain perlu ke hadapan dan perlu menunjukkan bakat dan aksi di hadapan orang ramai.

Kebolehan untuk melontar memerlukan kawalan badan sangat tinggi. Jika tidak dapat mengawal tangan, kepala dan badan, peluang untuk mendapatkan sasaran tepat adalah sangat rendah.

Pengalaman saya bermain baling damak, ia sangat membantu untuk menjadi seorang yang sangat sabar. Jika dahulu saya agak lemah dalam matematik, tetapi kini tolak dan tambah menjadi mudah.

Bagi saya, sukan ini bukan sekadar permainan untuk mengisi masa lapang tetapi boleh dijadikan kaedah mengajar subjek Matematik dan baik untuk kesihatan. Oleh itu, eloknya permainan ini diperkenalkan sejak peringkat sekolah lagi.

MUHAMMAD FIERDAUZ MOHD. JAUDIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya