SAUDARA PENGARANG,
APABILA terlalu banyak peralatan elektrik siap dipasang disambung ke litar biasa atau apabila dua wayar dalam satu litar bertemu dengan tidak sengaja akan merenjat pengaliran kuasa elektrik dan boleh menyebabkan letupan. Tahukah anda mengenai perkara ini?
Disebabkan itu, jangan sesekali memasang sendiri wayar elektrik kecuali anda tahu apa yang dilakukan. Carilah mereka yang pakar dalam kerja-kerja sebegini.
Anda perlu sedar, sekiranya terkena renjatan apabila menyentuh peralatan elektronik seperti kipas, peti sejuk, pembancuh dan sebagainya, bermakna pemasangan elektrik itu salah.
Sebagai langkah keselamatan, pasangkan perkakas elektrik dengan palam yang boleh membawa arus elektrik berlebihan ke dalam tanah. Apa yang diperlukan hanyalah mengganti wayar dua talian kepada tiga talian.
Apabila membuat pemasangan wayar bar, pastikan semua peti barang kegunaan disediakan dengan baik kerana ia boleh menghalang daripada merebaknya api apabila percikan berlaku di dalam atau luar suis. Ia juga menyediakan alat ‘bumi’ untuk semua perkakas yang mudah diangkut.
Amat penting untuk pastikan semua peralatan elektrik adalah daripada mutu yang baik. Mungkin boleh dapat barangan yang rendah mutunya, murah harganya, namun boleh menyebabkan bahaya kepada diri dan keluarga. Ini kerana barang bermutu rendah menyebabkan lebih pemanasan dan had penggunaan elektrik yang lebih besar.
Fius elektrik sebenarnya ialah alat keselamatan yang direka untuk memutuskan arus elektrik apabila ia mengalir secara berlebihan. Oleh itu, apabila memasang perkakas-perkakas yang lebih bagi satu litar, anda sebenarnya membuat litar itu terlalu panas dan jika keadaan ini berterusan, boleh mengakibatkan kebakaran yang mengancam nyawa dan harta benda anda.
Sambungan-sambungan yang dibuat secara haram boleh mengakibatkan kebakaran. Tindakan ini bukan sahaja bahaya malah dilakukan tanpa kebenaran Tenaga Nasional Berhad (TNB). Lebih baik dapatkan kebenaran daripada pihak berwajib.
Tindakan tanpa berfikir panjang boleh mengakibatkan potongan bekalan elektrik kepada seluruh kawasan tanpa sebarang notis daripada TNB.
BULBIR SINGH, bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan