Atasi segera keciciran, buta huruf akibat pandemik - Utusan Malaysia

Atasi segera keciciran, buta huruf akibat pandemik

PELAN pemulihan pendidikan pasca Covid-19 perlu dirangka segera bagi mengelakkan pelajar terus tercicir akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELAKSANAAN dasar pemusatan dalam sistem pendidikan negara menyebabkan hampir 10 bulan institusi pendidikan ditutup dan secara tidak langsung mengubah sebahagian besar lanskap pendidikan negara. Ia memberi kesan negatif terhadap pendidikan apabila seramai 21,316 pelajar dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan mengalami keciciran selepas berhenti sekolah sejak Mac 2020.

Antara punca utama keciciran yang dikenal pasti ialah masalah kewangan, ketiadaan akses dan peranti, emosi serta minat yang hilang dalam kalangan pelajar.

Keadaan lebih membimbangkan apabila masalah buta huruf juga dijangka meningkat kepada 584 juta akibat penutupan sekolah kerana Covid-19 hasil kajian oleh Institut Statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dewan Muda Johor menyifatkan keciciran pendidikan dan pembelajaran merupakan isu utama pendidikan yang memerlukan tindakan segera. Sekiranya tiada campur tangan pihak berwajib, angka ini akan meningkat dan memberi kesan buruk kepada negara.

Melihat kepada isu tersebut, Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Kerohanian Dewan Muda Johor menggesa Kementerian Pendidikan untuk segera melaksanakan Pelan Pemulihan Pendidikan Pasca Covid-19 secara menyeluruh bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan isu buta huruf.

Menyentuh tentang program KPMPerkasaKU dan Catch Up Plan (CUP) yang diperkenalkan dalam melestarikan pendidikan ketika pandemik, ia adalah inisiatif yang baik, namun hanya dilihat sebagai pelan jangka pendek dan tidak menyeluruh. Malah ia akan tamat pada Februari ini.

Adakah kementerian sudah ada pelan baharu sekiranya ada gelombang baharu ataupun keadaan yang memaksa sekatan pergerakan dikuatkuasakan semula? Adakah kementerian akan ulang kitaran program yang sama?

Justeru, adalah lebih baik kementerian menguar-uarkan segera pelan pemulihan agar pemegang taruh maklum dan bersedia dengan segala kemungkinan selain menambah baik program KPMPerkasaKu dan CUP sedia ada.

Ini kerana program tersebut dilihat hanya menjurus sepenuhnya terhadap aspek akademik semata-mata sedangkan pelajar berhadapan pelbagai masalah lain yang memerlukan sokongan emosi dan sebagainya.

Untuk menjayakannya, satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Pendidikan perlu ditubuhkan.

JAWATANKUASA PENDIDIKAN, TEKNOLOGI DAN KEROHANIAN, DEWAN MUDA JOHOR 2022

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya