SAUDARA PENGARANG,
SAYA menonton satu video dalam YouTube bertajuk Ketam???? Biar Betik yang dimuat naik dalam laman perkongsian video itu pada 2 Januari lalu yang mengaitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Antara kandungan dalam video itu yang telah ditonton lebih 67,000 kali adalah tunggang uji motosikal berkuasa tinggi oleh anggota JPJ.
Menurut keterangan pada video terbabit, tunggang uji itu melibatkan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Negeri Sembilan yang dilakukan dari Senawang ke Rembau.
Saya difahamkan, bidang tugas anggota UPB adalah mengesan dan mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Setiap anggota dilengkapi alat perakam video mudah alih berteknologi tinggi bagi merakam kesalahan pengguna jalan raya.
Antara kesalahan pengguna jalan raya yang sering dirakamkan UPB ialah kegagalan memakai tali pinggang keselamatan, bermain telefon serta berhenti di petak kuning.
Saya kagum dengan kecekapan mengendalikan dan mengawal motosikal yang ditunjukkan oleh anggota-anggota terbabit.
Namun, agak dikesali apabila saya mendapati ada adegan di mana anggota-anggota JPJ itu sendiri tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.
Apa motif sebenar JPJ menyiarkan video sebegini yang jelas melanggar peraturan jalan raya apatah lagi dilakukan oleh anggota penguat kuasa sendiri?
Jika sebelum ini ada video-video orang awam melakukan kesalahan jalan raya yang tular seperti wanita menunggang motosikal tanpa topi keledar, anak seorang mekanik bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan kelab kereta meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya disiasat dan dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
Adakah perkara sama akan dilakukan terhadap anggota JPJ ini? Janganlah jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus. – UTUSAN
RAMDZAN, Rider tua