SAUDARA PENGARANG,
KEMISKINAN adalah satu fenomena sosial yang wujud di kebanyakan tempat di dunia ini. Islam meletakkan ia sebagai salah satu masalah ekonomi yang perlu diatasi dengan penuh hikmah dan perancangan.
Pada 2020, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merekodkan kutipan zakat melebihi RM750 juta. Ia satu jumlah agak besar dan diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan asnaf khususnya yang berada dalam kategori miskin.
Menurut laporan MAIWP pada 2019, sebanyak 616 orang daripada 22,000 penerima bantuan atau 2.8 peratus asnaf berjaya dikeluarkan dari kelompok kemiskinan. Ia satu perkembangan yang baik dan perlu diberi pujian.
Namun, bagaimana pula dengan jumlah yang berbaki? Jarak yang diperlukan untuk menjadi miskin sifar di ibu kota metropolitan adalah kira-kira 25 tahun, itupun sekiranya jumlah mereka tidak lagi meningkat. Realitinya, dunia berada di zaman Revolusi Industri 4.0 yang menjangkakan perbezaan jurang pendapatan akan lebih ketara akibat perbezaan kemahiran dan kelulusan yang agak jauh.
Menurut data diterbitkan Jabatan Statistik Negara antara 2016 hingga 2019 menunjukkan kadar kemiskinan mutlak menurun sementara miskin relatif memperlihatkan peningkatan terutama peringkat umur antara 25 hingga 45 tahun.
Disebabkan itu, beberapa inisiatif diambil oleh MAIWP berada di landasan betul dengan memiliki beberapa institusi pendidikan. Namun, satu pelan pembangunan komprehensif perlu bagi memastikan anak-anak asnaf mendapat tempat dan peluang sama agar mereka dapat menjadi tenaga kerja yang produktif dan berjaya pada masa hadapan.
Pemberian bantuan berbentuk kewangan dan pendidikan sememangnya menjadi kewajipan yang perlu dan telah pun dilaksanakan oleh kebanyakan badan berautoriti zakat. Cuma, sejauh mana keberkesanan bantuan tersebut?
Jadi, kaedah pementoran melibakan pelbagai pihak dapat membantu perkembangan anak-anak asnaf untuk terus maju dan berdaya saing dalam pendidikan.
Percayalah, usaha pembangunan keluarga dan anak-anak asnaf ini mungkin agak renyah pada awalnya tetapi dalam jangka panjang, ia akan memperlihatkan hasil yang baik dan memberansangkan serta menguntungkan masyarakat dan negara.
MOHD. SHAHID MOHD. NOH, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya