Warganet ditimpa musibah caci cerca - Utusan Malaysia

Warganet ditimpa musibah caci cerca

PENDEDAHAN sesuatu perkara di media sosial mendedahkan seseorang kepada tindakan undang-undang - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUSIBAH banjir yang melanda baru-baru ini membawa banyak pengajaran kepada kita. Di sebalik kemajuan ekonomi yang dinikmati negara sejak merdeka, nyawa dan harta rakyat masih dalam risiko tinggi bila menghadapi bencana itu.

Malah segala pembangunan pesat ini antara penyebab utama terjadinya banjir yang mengorbankan jiwa dan mengakibatkan berbilion ringgit kerosakan.

Baru-baru ini, kenyataan pakar-pakar dari beberapa universiti dan badan penyelidik bebas menegaskan betapa kritikal untuk negara melaksanakan pembangunan lebih mampan demi memastikan pemeliharaan alam sekitar dan menangani impak perubahan iklim.

Di peringkat dunia, pembangunan mampan sudah menjadi agenda penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1972 dan kini diteruskan dengan gagasan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang memerlukan sokongan setiap negara jika mahu bumi diselamatkan daripada kerosakan akibat perubahan iklim.

Ini bukan kali pertama kita mendengar istilah pembangunan mampan dilaungkan, tetapi adakah isu ini diambil serius?

Adakah pegawai kita di pentadbiran Persekutuan mahupun di peringkat negeri benar-benar melaksanakan konsep pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar atau setakat slogan kosong birokrasi?

Dalam nafas sama, kenapakah masih ada persoalan besar tentang tahap siap siaga dan respons kebangsaan terhadap sebarang bencana alam?

Di peringkat masyarakat pula, masih perlu diterapkan dengan lebih intensif sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar, bukan sekadar kempen di papan iklan.

Cukuplah sudah setiap tahun kita menghadapi insiden pencemaran kimia dan pembuangan sampah yang merosakkan sumber air dan sistem saliran kita. Di sini, yang patut disalahkan adalah mentaliti mundur masyarakat kita sendiri.

Isu pembangunan mampan ini sepatutnya diberi tumpuan oleh rakyat termasuk warganet yang aktif dalam media sosial jika mahu menyaksikan perubahan segera.

Namun, amat menyedihkan melihat warganet bagaikan mengambil kesempatan atas musibah ini untuk membuat serangan-serangan politik, sindiran-sindiran murah dan bukannya cenderung ke arah memperbaiki keadaan.

Berlakulah serangan bertubi-tubi dalam Facebook, Twitter dan kumpulan-kumpulan WhatsApp sarat dengan hantaran dan mesej-mesej berbaur politik menyelar politikus.

Semua menjadi sasaran tidak kira parti, blok kerajaan mahupun pembangkang. Baru-baru ini, pelbagai tohmahan dilempar ke atas menteri dan ahli-ahli Parlimen yang turun melawat kawasan banjir.

Malah, pek-pek bantuan yang diberi turut dipersoalkan dan dilemparkan syak wasangka dari segi keikhlasan bantuan.

Bukankah perkara yang lebih penting adalah memastikan mangsa-mangsa banjir terus mendapat bantuan? Sepatutnya kita menggalakkan lebih ramai untuk tampil ke depan membantu.

Amat aneh sekali para warganet dengan girang dan rakus menghentam menteri-menteri yang turun padang dan cuba mencari kesalahan mereka.

Apakah mesej yang cuba disampaikan? Apakah kita tidak mahu lagi melihat para menteri kita melawat kawasan bencana dan peka pada nasib rakyat?

Pada pendapat saya, media sosial sedang dilanda ‘bencana’ yang kadangkala lebih menjijikkan daripada segala air hanyir yang mengalir ke rumah-rumah mangsa banjir baru-baru ini.

Jika musibah banjir mengorbankan nyawa dan harta, tetapi ‘musibah caci cerca’ dalam media sosial pula meracuni jiwa dan pemikiran kita.

Budaya berkongsi mesej tanpa usul periksa hanyalah menggalakkan fitnah berleluasa malah mengaburkan kita daripada perkara-perkara yang lebih utama untuk di­fikirkan.

ISMAEL YUNUS, Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya