Wajibkan insurans perlindungan bencana alam - Utusan Malaysia

Wajibkan insurans perlindungan bencana alam

RAMAI yang tidak peka untuk mengambil perlindungan tambahan ekoran jarang atau tidak pernah berlaku bencana alam di kawasan perumahan. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANJIR besar baru-baru ini menyebabkan kerugian amat besar dengan tafsiran awal mencecah RM3 bilion melibatkan kerosakan bangunan, barangan dan kenderaan.

Ramai menyangka harta benda seperti rumah dan kenderaan dilindungi. Namun, hakikatnya insurans yang diambil tidak melindungi kejadian bencana seperti banjir dan seumpamanya.

Bagi insurans perumahan, kebanyakan insurans yang dilindungi ketika pembiayaan adalah terhadap pinjaman yang dibuat seperti Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) dan juga Mortgage Level Term Assurance (MLTA). Insurans ini melindungi kematian dan kecacatan kekal peminjam bagi menyelesaikan baki pinjaman.

Bagi perlindungan bencana, pemilik harta perlu mengambil insurans secara berasingan untuk melindungi daripada kerosakan yang menimpa sesuatu bangunan, barangan di dalam bangunan serta kenderaan.

Apa yang menyedihkan, hampir 90 peratus penduduk yang terkesan tidak mengambil perlindungan ini. Sebagai contoh, bagi sebuah kenderaan yang tenggelam sepenuhnya dalam banjir perlu membelanjakan sekitar RM10,000 hingga ada mencecah RM60,000 untuk membaik pulih.

Boleh dikatakan perubahan iklim menyebabkan semua kawasan berisiko dilanda bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya. Dengan kewujudan situasi begini, sudah tiba masanya pihak berwajib mewajibkan perlindungan bencana kepada semua bentuk harta benda.

Sepertimana diwajibkan insurans perlindungan pinjaman dan kenderaan, ketetapan insurans bencana perlu dilihat secara kolektif iaitu untuk mengurangan bebanan pemilik dan kerajaan.

Kerajaan juga perlu menyelia dan memastikan tawaran insurans bencana ini bersesuaian dan kompetitif untuk ditawarkan kepada pemilik harta. Ini penting agar tidak membebankan pemilik untuk mendapatkan perlindungan.

Kejadian bencana alam tidak dapat dielakkan, namun langkah pencegahan dari semua aspek termasuk mendapatkan perlindungan insurans perlu bagi mengelakkan kerugian yang lebih teruk kelak.

DR. MUHAMMAD AZWAN SULAIMAN & MUHAMAD SAIFUL ALIZAN NORDIN, UiTM Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya