SAUDARA PENGARANG,
GENERASI hari ini berdepan cabaran terutama di media sosial apabila kadangkala mengaburi mata sesetengah mahasiswa yang merasakan mereka perlu menjadi jaguh kepada sesuatu isu dalam memainkan peranan sebagai ejen pengubah masyarakat.
Mahasiswa contohnya, terlalu mudah berkongsi dan mengeluarkan pendapat, hatta mengenai politik negara luar sekalipun dengan hanya menerima input daripada sumber amat terhad.
Bukan tidak boleh berpolitik di kampus, namun biarlah usaha itu dilihat konsisten dan mempunyai matlamat jelas. Jadilah aktivis keadilan sosial seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan perjuangannya di kampus bagi mendedahkan kepada masyarakat arus perdana mengenai tegarnya kemiskinan yang mencengkam sesetengah komuniti di utara tanah air sehinggalah beliau berjaya menjawat jawatan politik tertinggi negara. Bukan hanya sekadar gembira bersorak-sorai memegang sepanduk untuk menarik perhatian orang ramai.
Sebagai mahasiswa, mereka perlu memberi keutamaan dan fokus kepada akademik. Sama ada keberadaan mereka di jurusan itu adalah hasil pilihan diri sendiri atau percaturan pihak ketiga, itu tidak menjadi soal. Apa yang lebih mustahak, impak yang diperoleh melalui pengajian tersebut sehingga menggenggam segulung ijazah.
Berdampinglah dengan pensyarah yang kebanyakannya mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang penyelidikan agar aura cendekiawan mereka menerobos ruang pembelajaran tatkala menelaah nota kuliah. Jadikan Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai idola ahli akademik tempatan yang bukan sahaja pakar dalam jurusan ekonomi tetapi merupakan antara penyumbang terbesar kepada masyarakat negara ini melalui idea Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional. Tiada yang mustahil jika sudah terbiasa memberikan fokus dalam apa jua yang kita lakukan.
Diharapkan mahasiswa tidak mensia-siakan peluang sedia ada. Dengan kemajuan prasarana teknologi maklumat, banyak peluang dan cabaran terbentang luas untuk diteroka. Maka, fokuslah agar apa yang diimpikan oleh diri sendiri dan apa yang diharapkan oleh pihak berkepentingan lain menjadi kenyataan.
Gunakanlah masa yang ada di menara gading untuk mencari fokus, menggilap potensi diri lalu mencari posisi terbaik dalam usaha untuk menyumbang kepada masyarakat kelak.
PROFESOR. MADYA DR. NAHRIZUL ADIB KADRI, Universiti Malaya