Vandalisme remaja bukan isu remeh - Utusan Malaysia

Vandalisme remaja bukan isu remeh

PERLU ada undang-undang yang lebih tegas terhadap pesalah yang melakukan vandalisme.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

VANDALISME bukanlah perkara baharu bahkan dianggap sebagai gejala yang sukar dibendung. Vandalisme sering dikaitkan dengan remaja kerana golongan ini mudah terpengaruh dengan gejala atau budaya tidak sihat.

Berdasarkan kajian, 80 peratus gejala vandalisme dilakukan oleh golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun dan 70 peratus ke atas terdiri daripada mereka yang berpendidikan rendah atau tercicir dari segi akademik sementara kebanyakan dilakukan secara berkumpulan.

Kebiasaannya gejala ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme juga merupakan jenayah ritual yang dilakukan kerana rasa tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat dan untuk menghilangkan kebosanan semata-mata.

Walaupun budaya ini dianggap ringan tetapi kerajaan terpaksa menanggung kerugian sangat besar untuk membaik pulih kerosakan yang dilakukan.

Pengaruh rakan sebaya menjadi punca utama berlakunya vandalisme, namun masalah keluarga serta kurangnya bimbingan sempurna daripada ibu bapa turut mendorong kepada perbuatan keji ini kerana dendam dan rasa ingin bebas. Justeru, remaja harus berupaya membezakan antara perkara baik dan buruk.

Dalam hal ini, semua pihak haruslah berganding bahu membasmi gejala vandalisme yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja. Walaupun isu ini dilihat sebagai remeh, namun ia dapat memberi impak besar kepada negara terutama sekiranya banyak kemudahan awam dimusnahkan yang menyebabkan ekonomi negara turut terjejas ekoran terpaksa membayar ganti rugi yang besar.

Malah imej negara juga akan terjejas akibat perbuatan salah laku ini. Semua masyarakat perlu bekerjasama dan bertindak segera dalam menangani gejala ini dan jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Bak kata pepatah, jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah.

MUHAMMAD HAFIZ HAIKAL MOHD JOHAR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya