SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali berganti tahun, lazimnya masyarakat akan menetapkan dan memperbaharui azam, malah ada sebahagian yang menjadikannya sebagai kemestian dalam kehidupan.
Kebanyakan masyarakat memilih awal tahun untuk menentukan azam kerana mudah membuat perkiraan kejayaan dan kegagalan diri sendiri bagi tempoh setahun. Sebenarnya, setiap orang tidak mampu mencapai semua dihajati kerana fitrah semula jadi yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu yang buruk.
Hakikatnya, manusia sentiasa disarankan untuk seimbangkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan hidup.
Terdapat beberapa langkah dan panduan disarankan oleh Islam dalam menyambut tahun baharu bagi memastikan kehidupan mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Pertama, melakukan introspeksi dan muhasabah diri. Islam menyarankan melakukan muhasabah kerana sifat manusia itu sendiri banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada penambahbaikan.
Sekiranya sifat kelemahan tersebut dibiarkan, pasti akan menyukarkan untuk melihat kelemahan diri sendiri dan cenderung pula melihat kelemahan dan aib orang lain. Bahkan ia menyebabkan segelintir masyarakat berasa dirinya sahaja yang betul dan orang lain adalah salah.
Saranan itu juga adalah berkaitan bekalan menuju akhirat dan berusaha untuk memperbaiki diri serta mempertingkatkan amalan.Setelah muhasabah, seseorang harus menerima kesalahan diri dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi.
Kedua, menentukan azam dan matlamat dalam kehidupan. Pelbagai azam cuba ditetapkan sama ada dari sudut kejayaan di dunia seperti mendapat kerjaya yang baik, memperoleh keputusan cemerlang, menjadi pekerja berdedikasi, menurunkan berat badan dan sebagainya yang dijadikan sebagai dorongan untuk berusaha lebih kuat dan gigih bagi mencapainya.
Begitu juga terdapat azam untuk memburu kejayaan di akhirat seperti penekanan dalam aspek ibadah dan akhlak termasuk mendirikan solat, membaca al-Quran, melakukan sembahyang berjemaah di masjid, meninggalkan perkara maksiat serta sia-sia dan sebagainya.
Setiap matlamat yang ingin dicapai perlu dimulakan dengan niat dan disusuli usaha. Usaha pula perlu disusun dengan strategi atau dilakukan secara berperingkat agar memudahkan untuk dilaksanakan. Akhirnya perlu bertawakal, berserah dan yakin dengan pertolongan Allah SWT.
Ketiga, berusaha mengoptimum dan memanfaatkan baki sisa usia dan masa hayat kehidupan.
Ini secara tidak langsung mengingatkan berlaku kesuntukan masa untuk meneruskan amal ibadat. Sebaliknya, jangan bertangguh untuk melakukan kebaikan sementara masih diberi peluang.
Majoriti umur seseorang di dunia ini adalah hanya sekitar 60 hingga 70 tahun. Perlu disedari dan diinsafi bahawa umur sangat singkat, sebaliknya gunakanlah kesempatan dengan beramal dan berbakti.
Justeru, dengan sisa baki masa dan usia ini perlu dioptimumkan dan dimanfaatkan untuk mencari bekalan dengan memperbanyakkan amal kebaikan dan ibadat dengan penuh ketakwaan.
Demikianlah, beberapa langkah bagi mencapai keseimbangan diri, seseorang perlu muhasabah terlebih dahulu sebelum meningkatkan keazaman bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
DR. AZRI BHARI, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)