SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN kereta api terkandas melibatkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), baru-baru ini sepatutnya tidak berlaku.
Perkhidmatan ETS terkandas disebabkan pokok tumbang yang menimpa kabel elektrik berhampiran Kuala Lumpur. Oleh kerana ramai menggunakan pengangkutan awam sama ada untuk perjalanan jauh atau jarak dekat, maka sepatutnya perkhidmatan ini berjalan lancar dan tidak tergendala oleh perkara-perkara bukan bersifat luar jangka.
Sepatutnya pokok-pokok berhampiran jajaran landasan kereta api tidak berada terlalu hampir, bahkan mesti ada jarak minimum berdasarkan keadaan pokok yang boleh membesar dan tinggi.
Oleh kerana landasan kereta api KTMB dan ETS dinaik taraf kepada landasan berkembar, maka sepatutnya semua pokok yang berada di tepi landasan telah dibuang, melainkan bersaiz kecil dan tidak membesar serta rendah.
TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur