Sukarelawan tidak terlatih punca makcik sedih - Utusan Malaysia

Sukarelawan tidak terlatih punca makcik sedih

SUDAH sampai masanya sukarelawan di Malaysia memasuki tahap profesionalisme. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, seorang makcik yang menjadi mangsa banjir kilat mengeluh apabila barangan di kediamannya yang masih boleh digunakan dibuang begitu sahaja oleh sukarelawan tanpa bertanya kepada tuan rumah.

Niat baik untuk membantu akhirnya bertukar menjadi tindakan yang menyusahkan bahkan mendatangkan tekanan tambahan kepada mangsa bencana.

Banyak lagi contoh dan kesan negatif apabila niat baik tidak disertai dengan ilmu dan kemahiran kesukarelaan serta koordinasi yang baik terutamanya antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Oleh itu, sudah sampai masanya era kesukarelaan di Malaysia memasuki tahap profesionalisme. Niat untuk bersukarela semata-mata tidak mencukupi jika para sukarelawan tidak diperlengkapkan dengan ilmu dan kemahiran mengurus bencana.

Memandangkan budaya kesukarelaan dalam kalangan belia dan rakyat meningkat dengan pelbagai indikator seperti kempen bendera putih sewaktu pandemik Covid-19 dan mobilisasi bantuan mangsa banjir, maka kesukarelaan perlu terus melangkah gah dalam dunia profesionalisme bagi melahirkan sukarelawan terlatih.

Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendapat, kenyataan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko baru-baru ini untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang pengurusan risiko bencana sebagai usaha mengurangkan kesan lebih teruk kepada mangsa wajar disambut baik.

MBM sangat mengalu-alukan hasrat murni tersebut memandangkan kami juga mendapat manfaat yang amat besar daripada pengalaman dan kepakaran Jepun menguruskan bencana.

Kami melalui Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVOC) mengadakan Program Pengurusan Bencana MyVOC pada 2017 di Tokyo. Di sana, ahli-ahli MBM belajar daripada beberapa organisasi pengurusan bencana Jepun terpilih tentang langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana dan teknik membantu mangsa serta kaedah pengurusan menggunakan ‘apa yang ada.’

Justeru, tawaran kerajaan Jepun bukan sahaja baik untuk kerajaan kita malah bermanfaat kepada NGO dan individu yang terlibat membantu mangsa bencana.

Selain itu, aktiviti kesukarelaan perlu diperkasakan. MBM mencadangkan penubuhan Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM) yang berpaksikan NGO dan rakyat bagi membantu kerajaan menyelaras dan mengkoordinasi seluruh pertubuhan berasaskan kesukarelaan.

Selepas itu, ia boleh dinaik taraf kepada Suruhanjaya Kebajikan dan Kesukarelaan bagi meregulasi NGO dan aktiviti kesukarelaan secara serius, profesional dan pintar.

Cadangan ini juga merupakan idea yang praktikal kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi menangani kelompangan aktiviti bekas aktivis belia yang berada di kelompok umur 30 sehingga 40 tahun.

Idea besar ini selaras dengan hakikat kita sedang bergerak ke arah sebuah negara maju menjelang 2030 dan masa depan yang sangat mencabar.

Idea MSM masih hijau dan memerlukan percambahan idea lebih komprehensif yang mungkin juga mampu melahirkan Akademi Kesukarelaan Nasional yang digerakkan oleh NGO dan disokong kerajaan.

Dalam perkembangan lain, MBM ingin menyentuh isu mangsa banjir lambat menerima bantuan setelah kerajaan cuba melakukan koordinasi bertujuan mewujudkan penyelarasan yang baik.

Ini merupakan beberapa elemen yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dan bukan dipolemikkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai pemikiran politik sempit.

Apa yang penting adalah kita tidak boleh lupa agenda besar membantu mangsa banjir dan mewujudkan pengurusan risiko bencana yang cekap.

JUFITRI JOHA, Presiden MBM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya