SAUDARA PENGARANG,
ISU merokok di tempat awam terutama di kedai makan kebelakangan ini dilihat semakin menjadi-jadi. Sikap segelintir perokok yang tidak peka dengan perasaan orang sekeliling menimbulkan kemarahan masyarakat.
Situasi ini dilihat semakin parah sejak kerajaan memberikan kelonggaran untuk makan di restoran selepas sahaja tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peribahasa bagaikan kera mendapat bunga merupakan perumpamaan paling tepat ditujukan kepada golongan ini. Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan tidak dihargai oleh mereka.
Setakat ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-72 paling ramai perokok di dunia dengan tujuh juta penduduknya ialah perokok.
Lebih 10,000 kematian dicatatkan setahun di negara ini disebabkan komplikasi merokok dengan nilai kerugian ditanggung akibat kos rawatan dan kehilangan produktiviti kira-kira RM20 bilion.
Penguatkuasaan semula undang-undang secara lebih ketat merupakan jalan terbaik ke arah membendung situasi ini daripada menjadi lebih parah.
Apakah yang terjadi kepada larangan merokok di semua premis makanan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bermula 1 Januari 2020?
Ekoran larangan itu, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter dari setiap premis berkenaan.
Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.
Pada 2020, cukup giat dilaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dengan banyak notis amaran dikeluarkan.
Perasaan semakin berani untuk merokok di lokasi awam disebabkan ketiadaan apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa wajar dihalang menerusi aktiviti penguatkuasaan secara besar-besaran.
Langkah ini juga dapat mengelak lebih ramai anggota masyarakat menjadi perokok pasif dalam keadaan diri mereka sendiri tidak rela diperlakukan sebegitu.
Dari sudut Islam, merokok adalah haram disebabkan terdapat kemudaratan iaitu merosakkan tubuh badan.
Perlakuan merokok secara terbuka di tempat awam ini dirujuk sebagai amat tidak baik kerana tindakan itu bukan sahaja secara terang-terangan telah memudaratkan diri sendiri.
Ia turut berupaya memberikan kemudaratan kepada kesihatan orang sekeliling yang telah menjadi perokok pasif.
Perokok pasif adalah mereka yang tidak merokok tetapi terdedah dengan asap rokok. Justeru, keadaan ini tidak boleh dibiarkan dan harus dibendung dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Dalam pada itu, saya menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini bahawa pihaknya berhasrat menggubal rang undang-undang (RUU) baharu dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok dalam sidang Parlimen tahun ini.
Diharapkan RUU itu lebih tegas dan bakal melahirkan generasi muda yang tidak lagi kenal apakah itu rokok dan segala produk berkaitan dengannya.
DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka