SMS cukup, tak perlu canggih - Utusan Malaysia

SMS cukup, tak perlu canggih

Terma rujukan Majlis Pemulihan Negara perlu diubah jika mahu fungsinya diperluaskan termasuk menangani soal banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH 19 dan 20 Disember lalu memperlihatkan satu lagi episod bencana semula jadi pelbagai berlaku serentak sehingga menimbulkan kesan melata berantai yang menyebabkan rakyat mempertikaikan keberkesanan sistem kerajaan dalam menangani bencana.

Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR), 2015-2030 telah diterima pakai di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menggariskan empat tindakan utama dalam memastikan risiko bencana negara dapat dikurangkan.

Tindakan pertama iaitu pemahaman terhadap risiko bencana yang memerlukan kajian berterusan menggunakan pendekatan pelbagai bidang atau disiplin seperti kejuruteraan, geologi, geospatial, sains sosial, ekonomi dan lain-lain. Data yang lengkap memudahkan keputusan dibuat berdasarkan fakta dan bukti saintifik. Kerjasama strategik antara institusi penyelidikan, agensi kerajaan, badan professional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai platform untuk berkongsi input kepakaran dan meyumbang secara aktif.

Sementara pelaburan yang dilaksanakan perlu ke arah pengurangan risiko dan daya tahan bencana. Pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan termasuk memahami sifat-sifat bencana, mengkaji semula kawasan berpotensi ditimpa bencana, perlu ada sistem amaran awal yang berkesan. Pelaburan tidak semestinya hanya bersifat fizikal seperti melibatkan masyarakat setempat sebagai ejen membantu dalam pengurusan risiko bencana. 

Bencana banjir baru-baru ini sepatutnya boleh ditangani dengan lebih baik sekiranya kerajaan mempunyai sistem penyebaran maklumat yang baik dan dikoordinasi dengan sempurna hanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Ini tidak memerlukan penggunaan teknologi tercanggih pun. 

Selain itu, kerajaan perlu mengukuhkan urus tadbir bagi risiko bencana melibatkan pemerkasaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Pada masa ini, skop dan tanggungjawab agensi itu berdasarkan peruntukan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (Arahan MKN 20). Secara amnya, skop NADMA melibatkan penyelarasan semua aktiviti dan kerjasama sebelum, semasa dan selepas bencana termasuk aktiviti pencegahan dan mitigasi risiko bencana, aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas bencana serta aktiviti pemulihan dan pembangunan semula.. 

NADMA juga bertindak sebagai sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat. Skop dan tanggungjawab besar ini harus disokong oleh akta dan juga penambahan jumlah kakitangan dan kepakaran pakar tertentu yang ramai. 

Terakhir adalah dengan meningkatkan kesiapsiagaan secara menyeluruh dan membangun semula kawasan dengan lebih baik melalui program tindak balas, rehabilitasi serta pembinaan semula. Di sini peranan agensi teknikal kerajaan, badan profesional dan NGO diperlukan dalam memberikan penerangan secara bersemuka dengan rakyat bagi memberi kesedaran dan pemahaman.

Untuk itu, Institut Geologi Malaysia (IGM) sentiasa bersedia untuk berganding bahu bersama mana-mana agensi dan institusi yang memerlukan kepakaran ahli-ahli IGM.

ABD. RASID JAAPAR, Presiden Institut Geologi Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya