Sisa makanan punca gas beracun - Utusan Malaysia

Sisa makanan punca gas beracun

SETIAP tapak pelupusan sampah mampu menampung bahan buangan itu untuk tempoh 10 hingga 20 tahun sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tahu pembaca sudah jemu dengan topik sampah, lebih-lebih lagi semasa musim banjir dan pascabanjir yang menyaksikan banyak bahan buangan dihasilkan.

Tetapi saya tetap ingin berkongsi pandangan tentang isu ini agar kita tidak terlambat memperbetulkan keadaan.

Semua sedia maklum, sisa pepejal yang dihasilkan akan pergi ke tapak pelupusan sampah. Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), setiap individu menghasilkan 35 kilogram sampah setiap bulan.

Permasalahan tapak-tapak pelupusan sampah ini adalah ia hanya mampu menampung sampah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.

Sampah terbabit menghasilkan air larutan serapan yang boleh masuk ke dalam tanah dan sungai menyebabkan pencemaran yang juga salah satu punca gangguan bekalan air kerana sumber air bersih ke loji telah dicemari.

Selain itu, hampir separuh daripada sampah kita adalah sisa makanan yang menghasilkan gas beracun yang boleh menyebabkan perubahan iklim.

Tabiat pembaziran ini menjadi lebih melampau semasa musim perayaan yang secara tidak langsung menyebabkan lebih banyak sisa makanan pergi ke tapak pelupusan sampah.

Pelbagai pendekatan menguruskan sisa pepejal yang boleh kita ambil untuk mengurangkan permasalahan ini. Antaranya, melakukan kompos sisa makanan. Pelbagai cara boleh digunakan mengikut kesesuaian tempat tinggal kita.

Dengan kurangnya sisa makanan masuk ke tapak pelupusan sampah, maka berkuranglah gas rumah hijau dan gas beracun yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Langkah itu dapat membantu kerajaan yang kini menanggung kos sangat tinggi untuk pengurusan sisa pepejal. Sepatutnya wang terbabit boleh digunakan oleh sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan.

AHMAD ZARIF AKMAL NOR AZMAN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya