SAUDARA PENGARANG,
KE arah mewujudkan suasana kondusif dan saksama di tempat kerja, masyarakat masa kini semakin celik akan hak-hak dan keperluan untuk menyuarakan pendapat masing-masing.
Dalam masyarakat yang mengamalkan budaya ketimuran, majoriti daripada kita masih tidak selesa menyuarakan isu gangguan seksual.
Namun, budaya masyarakat Asia kian mengambil berat isu penindasan terhadap golongan wanita. Tetapi adakah kita sedar, kaum Adam juga ada yang menderita dalam diam akibat gangguan serupa?
Saya bertanya kepada rakan-rakan lelaki berkenaan isu gangguan seksual di tempat kerja. Sangat mengejutkan apabila rakan-rakan memberitahu perbuatan menampar punggung, mencuit bahagian dada atau kemaluan lelaki dan bergurau lucah hanya dianggap sebagai gurauan.
Ada lelaki yang menyatakan rasa tidak selesa disentuh atau dimomokkan dengan gurauan seksual sebegitu oleh wanita. Lebih mengejutkan apabila ada yang dipersoalkan, “siapa dari Bahagian Sumber Manusia akan lebih percaya, lelaki atau perempuan?”
Isu paling jelas di sini bukan hanya perlakuan itu sendiri tetapi lebih merisaukan adalah kesedaran kita terhadap isu sebegini.
Perlu diingatkan, dari 2013 hingga 2017, kerajaan menerima 257 aduan menyatakan lelaki menjadi mangsa daripada 1,218 kes gangguan seksual yang dilaporkan.
Apabila masyarakat menganggap perlakuan ini sebagai ‘gurauan’, kita juga seolah-olah cuba menganggap kesalahan ini sebagai satu perkara normal.
Selain maruah dan motivasi mangsa menurun, prestasi kerja juga akan merudum secara tidak langsung. Tidak kurang isu yang melarat terbawa-bawa ke rumah dan mengganggu rumah tangga mangsa. Justeru, isu ini mestilah dipandang berat oleh mangsa dan semua pihak sebelum melarat.
Budaya timur sering menganggap isu berkaitan seksual sebagai tabu yang tidak mungkin boleh dibicarakan secara terbuka. Lebih-lebih lagi apabila lelaki menjadi mangsa. Membicarakan isu ini mungkin akan membuatkan mereka berasa dimalukan dan kurang ‘jantan’.
Oleh itu, sudah sampai masanya untuk isu sebegini dibicarakan dengan telus dan selamat. Sesungguhnya Akta Kerja 1955 tidak hanya melindungi kaum Hawa. Malah, sesiapa juga yang ditindas atau diganggu secara seksual mempunyai hak yang sama rata untuk mendapatkan perlindungan.
Bahagian Sumber Manusia perlu mengambil berat laporan sebegini dan mengendalikan siasatan dengan etika kerahsiaan dan menjaga nama baik semua pihak.
Perlu juga diingat, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan sekiranya anda dipecat setelah melaporkan isu ini, majikan boleh didakwa dan pampasan sebagai ganti rugi melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan perlulah dijelaskan jika ia terbukti tidak adil.
Kita sudah di landasan yang betul dalam menuju misi tempat kerja selamat dan saksama untuk semua. Tetapi kesaksamaan itu tidak pula menyatakan hanya wanita yang berhak untuk tidak berasa diancam.
Tuntasnya, isu lelaki mangsa gangguan seksual ini bukanlah kerana pelaksanaan undang-udang atau kelemahan Bahagian Sumber Manusia. Ia berlaku kerana mentaliti masyarakat yang memandang ringan perkara berkenaan.
Lebih menakutkan, ia terjadi kerana lelaki sendiri menganggap perlakuan keji ini sebagai gurauan dan boleh didiamkan sahaja.
Laporkan perkara ini sebelum gangguan seksual menjadi punca kepada tekanan. Ingat, gangguan seksual tidak hanya memangsakan wanita.
FAIZUL MOHAMAD, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam