SAUDARA PENGARANG,
PANDEMIK melumpuhkan banyak sektor di negara ini sehingga pasaran buruh kini berdepan cabaran untuk terus berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi selepas penularan Covid-19.
Pelbagai isu sampingan yang berkait rapat dengan pengangguran, struktur dan cabaran jangka pendek perlu ditangani termasuk peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.
Isu struktur ini boleh dikaitkan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir.
Ini menunjukkan industri berdepan kekangan untuk menyerap penawaran buruh berpendidikan tinggi bagi mendapatkan pekerjaan yang setara dengan latar belakang pendidikan mereka.
Menurut kajian Institute for Research & Development of Policy, universiti dan kolej menghasilkan lebih daripada 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun. Namun, mereka yang memasuki pasaran pekerjaan ditawarkan gaji sangat rendah.
Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya tidak menganggur.
Berlaku kekurangan penciptaan pekerjaan, terutama kategori berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda ini. Ini menyebabkan ramai graduan menganggur dan banyak juga bekerja di bawah potensi sebenar.
Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai bilangan pekerja di bawah kapasiti sebenar.
Bagi menangani isu struktural ini, saya mengesyorkan kerajaan bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur.
Ini akan membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang yang mampan dan mempunyai masa depan.
Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menangani isu ini sebelum ia menjadi masalah lebih besar dan tidak dapat dikawal.
MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN, Felow Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM)