SAUDARA PENGARANG,
Salah satu daripada tanggungjawab hakiki pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan baik, tidak cacat ataupun sakit mata memandang.
Aset yang biasanya tidak diambil berat oleh sesebuah PBT adalah papan tanda jalan, papan tanda petunjuk jalan, papan tanda bulatan, papan tanda persiaran dan papan tanda seksyen.
Di Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai kesemua.
Berdasarkan kepada pengamatan saya sejak 2017, banyak juga papan tanda yang tidak diselenggara dengan baik.
Merujuk kepada gambar yang disertakan, papan tanda di Seksyen U11 Bukit Bandaraya terletak di Persiaran Gunung Nuang telah hampir setahun berlumut dan kotor. Sepatutnya, papan tanda seksyen ini dibersihkan kerana dalam keadaan sekarang, ia cukup tidak sedap mata memandang.
Saya beberapa kali memaklumkan pihak MBSA tentang perkara ini. E-mel telah dihantar kepada Datuk Bandar Shah Alam pada 13 Disember 2020, diikuti satu lagi e-mel lain dan beberapa ciapan kepada Twitter MBSA @sacitycouncil supaya mereka membersihkan aset yang berlumut dan kotor ini.
Namun, sehingga kini MBSA masih belum mengambil tindakan positif.
Dalam e-mel tersebut, saya memberikan dua cadangan iaitu pertama, ditubuhkan pasukan pemantau terhadap aset-aset MBSA yang cacat di seluruh kawasan pentadbiran PBT itu.
Cadangan kedua supaya Datuk Bandar Shah Alam meminta Ahli-Ahli Majlis MBSA (seramai 24 orang) mengambil tanggungjawab bersama membuat kerja pemantauan, di zon masing-masing dan seterusnya membuat aduan/laporan kepada MBSA untuk diambil tindakan.
Adalah diharapkan dengan tersiarnya aduan ini, MBSA akan membersihkan aset yang cacat ini dengan kadar segera.
KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor