SAUDARA PENGARANG,
DALAM sibuk dan kecoh mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, nampaknya kita terlepas pandang mengenai penularan Covid-19 yang masih mencatat angka jangkitan yang tinggi.
Penularan varian Omicron ke dalam negara semakin mencatatkan angka yang tinggi, namun dilihat rakyat semakin alpa untuk menjaga diri dan kesihatan.
Di pusat membeli-belah, restoran, gerai makanan mahupun tempat reaksi nampaknya semakin dikunjungi ramai, namun dilihat orang ramai dan juga pekerja dan pemilik premis nampaknya mengambil mudah mengenai saranan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Bukan sahaja ramai yang tidak mengimbas MySejahtera, tetapi mereka juga gagal mengambil suhu badan dan menjaga jarak sosial terutama ketika beratur membayar di pasar raya. Saya melihat tiada lagi penjarakan satu meter.
Banyak juga premis yang tidak lagi menghadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa sedangkan ruang perniagaan itu sempit.
Benar, majoriti rakyat Malaysia telah mengambil pelali vaksin Covid-19, namun ia bukanlah jaminan anda tidak akan dijangkiti. Berulang kali rasanya pihak kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui pesanan khidmat masyarakat di televisyen, radio dan surat akhbar menguar-uarkan bahaya virus ini.
Sekali pun anda telah lengkap vaksin dan dos penggalak, namun ingatlah juga kepada mereka yang mempunyai anak kecil yang tidak mendapat sebarang perlindungan pelali.
Saya memahami situasi ibu bapa yang terpaksa membawa anak-anak keluar menghirup udara segar dan menikmati kehidupan normal. Jadi, berilah peluang kepada anak kecil ini menjalani kehidupan mereka dengan memastikan setiap daripada kita mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
Pelbagai sektor telah dibuka, begitu juga dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi malah negara juga telah membenarkan rakyat melancong ke negara luar dan menerima pelancong sekali gus memberi kebimbangan kepada setiap lapisan masyarakat.
Oleh itu, diharap rakyat patuh pada arahan kerajaan dengan menjalani kuarantin wajib dan tidak memberi risiko kepada orang lain sekiranya ada gejala.
FITRI AHMAD, Kuala Lumpur