Rakyat kita miskin akses maklumat - Utusan Malaysia

Rakyat kita miskin akses maklumat

SUDAH tentu lebih bermakna jika rakyat diberi lebih hak untuk mengakses dan menilai dokumen rasmi kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAKYAT sekarang pada umumnya kritikal tentang integriti dan kredibiliti institusi kerajaan. Ada yang mempersoalkan akauntabiliti dalam kalangan pemimpin, mahukan sistem kehakiman yang adil dan ingin melihat akauntabiliti birokrasi.

Mereka juga mahu ketelusan maklumat dan kebebasan bersuara. Oleh itu, cara terbaik untuk kembalikan keyakinan rakyat adalah dengan meningkatkan integriti dan kredibiliti institusi kerajaan menerusi perkongsian maklumat tanpa prasangka dengan orang ramai.

Kurangnya maklumat menyebabkan prestasi keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari jemaah menteri mencapai tahap 90 peratus juga dipersoal oleh rakyat. Apakah kaedah penilaian KPI jemaah menteri? Sepatutnya penilaian dilakukan oleh badan bebas.

Dalam pada itu, data Tahap Keyakinan Masyarakat Terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diukur sendiri oleh suruhanjaya itu dan bukan badan bebas. Bagi tempoh 2012 hingga 2019, data itu menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM meningkat daripada 64 ke 76 peratus.

Sebenarnya, tiada indeks rasuah bersistematik dan bebas untuk mengukur tahap rasuah di Malaysia. Bagaimanapun, Transparency International ada menerbitkan Indeks Persepsi Korupsi (CPI) setiap tahun untuk menunjukkan kedudukan persepsi rasuah sesebuah negara.

Indeks itu menunjukkan persepsi gejala rasuah di Malaysia masih tinggi berbanding negara jiran, Singapura. Ini memberi petunjuk usaha perlu dilipat ganda oleh kerajaan untuk membanteras rasuah dalam sektor awam dan swasta khususnya yang berprofil tinggi.

Rasuah boleh dikaitkan dengan isu kawal selia atau tadbir urus. Salah kawal selia atau tadbir urus kerajaan pula selalunya dikaitkan dengan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme.

Untuk mengatasinya, akses rakyat kepada maklumat adalah penting. Pada masa sekarang, pendekatan kerajaan dalam perkongsian maklumat dengan rakyat lebih bersifat sehala dan mengikut aliran atas ke bawah.

Adalah lebih bermakna jika rakyat diberi hak untuk mengakses dan menilai dokumen rasmi kerajaan. Ini bererti aliran maklumat yang dikongsi bersama secara bawah ke atas juga kritikal.

Ini mewujudkan satu proses yang kerajaan lebih terbuka dan telus. Mereka yang berkuasa akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

Hak akses dan kebebasan maklumat adalah satu daripada beberapa hak asasi manusia. Malah, Islam menegakkan hak asasi manusia dan menganjurkan kebebasan serta hak akses maklumat.

Ironinya, kita masih digari dengan sindrom sulit dalam perkongsian maklumat antara kerajaan dengan rakyat. Perkongsian maklumat juga dikekang oleh Akta Rahsia Rasmi 1997.

Walaupun kerajaan banyak menyebar maklumat menerusi media cetak dan elektronik, ia masih berbeza dengan hak akses maklumat. Selain itu, tiada perundangan untuk jaminan mengakses maklumat ke atas dokumen kerajaan oleh rakyat.

Tujuan akses kepada maklumat adalah untuk menangani ketidakadilan antara rakyat dan kerajaan. Dalam pada itu, ia meningkatkan kecekapan dan keadilan daripada kerajaan.

Adalah tidak keterlaluan dikatakan di sini bahawa rakyat Malaysia adalah miskin dalam konteks akses kepada maklumat.

ABDUL RAHIM ANUAR, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya