SAUDARA PENGARANG,
POLITIK lama merupakan pendekatan berpolitik yang lebih menuntut kepada suatu nilai menekankan aspek penghormatan, kesetiaan dan kebertanggungjawaban kepada autoriti.
Ia bersifat penutupan minda yang lebih menurut kepada budaya dan kepercayaan tradisional sehingga sukar untuk menerima idea dan budaya baharu.
Politik lama terlalu terikat dengan sentimen perkauman, kewilayahan, kedaerahan dan agama yang sering dijadikan modal utama untuk menarik minat masyarakat dalam politik sekali gus penyumbang penting kepada pengaruh UMNO-Barisan Nasional (BN) sejak 1959.
Pemimpin UMNO dilihat sebagai faktor penting dalam mempertahankan kepentingan Melayu khususnya yang bersangkutan dengan nilai-nilai asas budaya politik kaum itu.
Sebagai contoh, sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) 1965 memperlihatkan kemerosotan berikutan ada cubaan kepimpinan parti itu untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara selain bahasa Melayu.
Meskipun tindakan pemimpin UMNO tersebut bertujuan membuka ruang supaya politik Melayu tidak dilihat kaum lain sebagai tidak demokratik, namun niat tersebut tidak dapat diterima oleh orang Melayu serta dilihat sebagai merugikan ketuanan kaum itu.
Hal sama dihadapi Pakatan Harapan (PH). Sepanjang tempoh pentadbiran PH, timbul pelbagai isu yang gagal ditangani sehingga membawa kepada keruntuhan pakatan itu pada 24 Februari 2020.
Isu ancaman terhadap kepentingan Melayu-Islam sering menjadi modal pembangkang. PH yang menguasai kerajaan pada ketika itu pula dilihat gagal menepis ketakutan orang Melayu.
PH lebih memberikan tumpuan kepada isu-isu nasional lebih besar seperti soal integriti, akauntabiliti tadbir urus kerajaan yang sebenarnya gagal difahami oleh pengundi di peringkat bawah.
Pembangkang ketika itu pula khususnya UMNO lebih bijak menyusun strategi dengan mengambil pendekatan politik lama yang menjadi unsur teras budaya politik Melayu.
UMNO lebih banyak menggunakan sentimen pembangunan, pemberian bantuan kewangan kepada rakyat, ketuanan Melayu dan Islam. Ternyata unsur-unsur tradisi budaya politik lama tersebut masih menjadi pilihan pengundi Melayu.
Hal ini dibuktikan menerusi keputusan pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang banyak berpihak kepada UMNO-BN.
UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak lebih bijak mengatur langkah dengan memberikan pelbagai idea membantu rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 berbanding pimpinan parti politik lain.
Strategi tersebut memberikan kredit yang besar kepada kemenangan UMNO termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kegagalan terbesar pentadbiran PH adalah tidak berupaya memahami unsur teras yang membentuk kerangka politik negara. Perubahan yang cuba dibawa oleh PH dilihat terlalu drastik bagi pengundi Melayu.
Pemansuhan pelbagai bentuk bantuan kewangan dengan memberikan hujah ekonomi bersifat akademik dilihat gagal difahami oleh rakyat bawahan.
Lantas isu tersebut menjadi modal terbaik UMNO dengan membanding bantuan ketika pentadbiran UMNO-BN dengan PH.
Setiap parti politik harus memahami masyarakat Melayu merupakan kelompok etnik yang dominan dan utuh dalam kerangka sosiopolitik Malaysia.
Justeru, dalam menghadapi PRU15, unsur teras budaya politik Melayu harus diberikan perhatian sebagai satu aspek yang relevan sepanjang masa dalam ruang lingkup politik Malaysia.
DR. ILYAS ABDULLAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang Kampus Raub