SAUDARA PENGARANG,
RAMAI yang melihat dan menuding jari seolah-olah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) gagal dalam menangani bencana banjir baru-baru ini. Disebabkan itu, kerajaan bercadang mengkaji semula peranan Nadma dan berkemungkinan agensi itu diperluaskan di negeri dan daerah seperti dibahaskan dalam Persidangan Khas Parlimen.
Semua pihak perlu dipersalahkan termasuk pihak berkuasa di peringkat negeri, daerah, kerajaan tempatan dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Nadma semata-mata ketika banjir tempoh hari. Jadi, tiada keperluan untuk wujudkan cawangan Nadma di peringkat negeri mahupun daerah.
Ini kerana Jawatankuasa Bencana Negara telah diwujudkan sekian lama di peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri manakala di peringkat daerah pula diketuai Pegawai Daerah. Jawatankuasa ini dianggotai oleh beberapa jabatan. Peranannya sudah cukup jelas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia hanya menambah beban kewangan kerajaan serta menambah lapisan hirarki dari segi pengurusan dan mungkin hanya sekadar diberi kuasa sebagai penyelaras selain terdapat pertindihan fungsi dan tugas jika Nadma diwujudkan di negeri dan daerah. Malah, ia tidak memberi apa-apa kesan besar.
Walaupun banjir berlaku di luar jangka, namun jelas dilihat Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah kurang peka atau mengambil berat amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi. Sikap tunggu dan lihat inilah yang menyebabkan ramai terperangkap, tidak sempat berpindah dan lain-lain.
TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur