SAUDARA PENGARANG,
COVID-19 yang menghantui kita sejak awal 2020 memberi kesan teruk kepada sistem kesihatan sehingga penyakit berbahaya lain seakan-akan dipandang sepi.
Malah, banyak hospital dijadikan tempat khusus untuk rawatan Covid-19 di mana kes lain akan dirujuk ke hospital berdekatan.
Contohnya, Hospital Sungai Buloh diwartakan sebagai tempat rawatan pesakit itu sejak kemunculan virus bahaya berkenaan melanda negara.
Oleh kerana keadaan semakin terkawal, maka kita tidak boleh lupa penyakit berangkai seperti darah tinggi, kolesterol, obesiti dan jantung yang berisiko mengakibatkan penyakit kardiovaskular yang mengancam nyawa.
Penyakit berangkai bermaksud sekiranya seseorang mengalami salah satu daripadanya, maka risiko mereka untuk mendapat penyakit kronik lain amat tinggi.
Jarang sekali kita dapati seseorang hanya mendapat satu penyakit. Contohnya, diabetes tanpa mendapat darah tinggi, kolesterol mahupun sakit jantung.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meluahkan kegusaran Malaysia dikategorikan negara tidak sihat.
Statistik yang menunjukkan Malaysia antara negara tertinggi dalam beberapa masalah kesihatan termasuk diabetes, darah tinggi, kolesterol, obesiti dan jantung.
Laporan Tinjauan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan 1.7 juta rakyat Malaysia mempunyai tiga faktor risiko utama terdiri daripada darah tinggi, diabetes dan tinggi kolesterol.
Diabetes merupakan penyakit kronik yang sangat bahaya sehinggakan digelar sebagai pembunuh senyap.
Hal yang demikian kerana seseorang tidak mengalami apa-apa sakit walaupun darah mereka sudah tinggi dengan gula.
Kajian menunjukkan tempoh senyap atau tempoh tanpa gejala ini adalah lebih dari lima tahun sebelum seseorang biasanya dapat dikesan mendapat penyakit diabetes jenis dua.
Begitu juga penyakit darah tinggi. Kebanyakan pesakit tidak sedar yang mereka sebenarnya sudah lama mendapat darah tinggi.
Ramai hanya dikesan semasa berjumpa doktor disebabkan oleh sakit lain seperti demam dan semasa membuat ujian kesihatan sebelum melanjutkan pelajaran atau naik pangkat.
Apabila penyakit tersebut telah lama bertapak dalam badan, maka komplikasi disebabkan oleh gula dan darah yang tinggi akan merosakkan organ dalaman. Ini termasuk jantung, otak, sistem saraf, mata dan buah pinggang.
Penyakit jantung pula kebiasaannya disebabkan kesan diberikan oleh penyakit darah tinggi dan kolesterol akibat gaya hidup tidak sihat.
Lihatlah sekarang, zaman moden menyebabkan kita tidak aktif dengan adanya gajet yang kononnya canggih tetapi menjadi racun membunuh kesihatan.
Kemunculan makanan dan minuman yang ditambah lebih gula dan lemak sememangnya menarik pelanggan untuk menikmatinya.
Sedap dijamah, namun tanpa kesedaran tinggi tentang wajibnya menjaga kesihatan, kita akan terjerumus dalam kategori berisiko mendapat penyakit berangkai.
Jangan terpedaya kononnya tidak berisiko kerana kita tidak obes dan tiada sejarah keluarga yang mempunyai penyakit berangkai.
PROFESOR MADYA DR. MOHD. RADZNIWAN A. RASHID, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).