Pelihara zon penampan semula jadi - Utusan Malaysia

Pelihara zon penampan semula jadi

PERLU dipastikan kawasan rizab di sepanjang tebing sungai terus dikekalkan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN isu banjir sering diperkatakan sejak sekian lama oleh para ilmuwan dan orang ramai yang mengaitkannya dengan kesan perubahan iklim, namun kita harus sedar ia juga berhubung rapat dengan gangguan alam sekitar di sekeliling kita terutama akibat aktiviti pembangunan.

Antaranya kehilangan zon penampan semula jadi yang akan memberi kesan berganda kepada ekologi dan menyebabkan kemusnahan biodiversiti.

Dalam konteks alam sekitar, zon penampan ekologi dijumpai di kawasan tasik, hutan paya bakau, tanah berlumpur malah turut melibatkan kawasan rizab di sepanjang tebing sungai.

Zon penampan ekologi pada asasnya ditakrifkan sebagai kawasan antara muka atau jaluran tanah yang berada bersebelahan jasad air dan bebas daripada sebarang aktiviti manusia.

Garis Panduan Perancangan, Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) edisi 2017 yang diterbitkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan dengan jelas keperluan menyediakan dan mengekalkan zon penampan dalam sebarang pelan pembangunan.

Begitu juga Penilaian Impak Persekitaran (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar yang memperuntukkan pengekalan zon penampan ekologi pada kelebaran 20 meter di sepanjang jasad air mahupun tebing sungai, selain keperluan kepada pemaju untuk menyediakan kaedah kawalan tambahan lain sekiranya terdapat risiko hakisan dan enapan.

Kawasan zon penampan seperti di paya bakau umpamanya sangat kaya dengan kepelbagaian biologi dan sumber makanan hasil mendapan bahan-bahan organik. Justeru, menjadi habitat majoriti spesies fauna seperti ikan, ketam dan kerang-kerangan.

Kehilangan kawasan zon penampan akan menyebabkan tiupan angin dan arus air dipindah secara langsung kepada satu-satu ekosistem akuatik dan memberi impak yang sangat besar kepada ekologi sesuatu kawasan.

Sebagai contoh, kewujudan tumbuhan di zon penampan mampu memperlahankan arus air ketika banjir kerana adanya halangan oleh tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing yang akarnya memegang tanah dengan kuat.

Ini akan mengelakkan limpahan air secara drastik ke kawasan berhampiran. Di samping menyediakan perlindungan kepada hidupan dan mengekalkan suhu air, tumbuh-tumbuhan di zon penampan juga membantu menapis enapan yang mungkin berpunca dari hulu sungai atau kawasan tanah tinggi akibat adanya aktiviti pembinaan, pembalakan malah pembukaan tanah pertanian.

Oleh yang demikian, zon penampan berfungsi mengurangkan impak pencemaran kerana adanya pelbagai lapisan penapis semula jadi yang akan membantu mengurangkan jumlah bahan pencemar yang terbebas secara langsung ke kawasan sungai.

Justeru, ketiadaan tumbuhan di kawasan zon penampan akan menyebabkan kadar enapan berlaku sangat cepat. Enapan yang terbentuk di dasar sungai akan meningkatkan paras selain menjejaskan kualiti air seperti suhu, cahaya kekeruhan dan seterusnya mengganggu struktur komuniti hidupan akuatik yang ada.

Ketiadaan tumbuhan di zon penampan juga mengganggu kestabilan tanah di bahagian tebing menyebabkan peningkatan risiko hakisan dan limpahan air.

Oleh itu, undang-undang serta peraturan sedia ada berkaitan zon penampan perlu diperhalusi dan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Pemantauan oleh pihak berwajib ke atas pematuhan undang-undang dan peraturan dalam sesuatu pelan pembangunan perlu dilaksanakan secara proaktif dan lebih komprehensif.
Masyarakat awam juga wajar diberi penerangan dan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan zon penampan dan impak yang bakal wujud dengan ketiadaan kawasan sedemikian.

PROF. MADYA DR. NADIRAH MUSA, & PROF. DR. NAJIAH MUSA, Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya