SAUDARA PENGARANG,
SAYA terpanggil untuk mengulas punca banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini. Untuk pengetahuan umum, banjir besar pernah berlaku di negeri kelahiran saya, iaitu Pahang pada 1926. Baru-baru ini, ia berlaku kembali selepas hampir 100 tahun.
Menurut bapa yang ketika itu berusia empat tahun, semua ahli keluarga terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atas rakit sepanjang hari. Ketika itu berpuluh ekor kerbau mati lemas. Bapa juga menceritakan, mereka terpaksa makan nasi berlaukkan pucuk daun pokok getah. Situasi ketika itu sangat menyedihkan.
Jadi, kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini perlu dilihat secara positif kerana ia berlaku dengan kehendak Allah SWT sekalipun tiada pencemaran alam sekitar atau kerosakan hutan. Sudah pasti ada hikmahnya.
Kejadian yang berlaku wajar dilihat sebagai satu peringatan Allah SWT bahawa hanya Dia yang berkuasa mendatangkan sesuatu azab atau nikmat kepada hamba-Nya. Jadi, persepsi sesuatu ujian berlaku kerana musibah perlu diperbetulkan.
Dengan itu, kita terutama umat Islam seharusnya berfikir secara mendalam tentang bagaimana untuk mendapat perlindungan daripada Allah SWT supaya perjalanan hidup lebih diberkati dan dirahmati-Nya.
Allah SWT memberikan pelbagai bentuk kemudahan dan kesenangan hidup tetapi adakah kita benar-benar bersyukur terhadap apa jua yang telah dinikmati selama ini? Tepuk dada, tanya iman.
BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor