SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, senarai nama 1.2 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun telah diperaku dan diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebagai warganegara berusia 18 tahun pada April tahun lalu, saya mempunyai keinginan kuat untuk menjadi sebahagian daripada proses demokrasi negara apabila Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Sejak remaja, saya mengikuti perkembangan politik negara dan sangat teruja apabila mengetahui akan dapat mengundi tidak lama lagi.
Saya mengucapkan terima kasih dan amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan memberi belia berusia 18 tahun dan ke atas hak istimewa untuk mengundi sekai gus suara kami didengari.
Namun, sedihnya di sebalik perkembangan positif yang besar ini, saya tidak nampak banyak parti politik memberikan peluang luas kepada belia untuk menyinar sebaliknya kita masih melihat wajah lama yang sama menjadi tumpuan.
Sebagai belia, kita bukan sahaja mahu mengundi tetapi juga mahu menjadi ahli parti politik yang boleh membuat perubahan.
Kami ialah generasi hari ini yang memahami apa yang golongan belia mahu dan perlukan untuk masa depan lebih baik.
Sehingga kini, saya hanya perasan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru dilancarkan memberi peluang kepada golongan muda dengan cara sepatutnya.
Saya memuji kedua-dua parti ini kerana mengiktiraf peranan belia dan memandang serius kami sebagai sebahagian daripada kuasa politik masa depan negara.
Kebanyakan parti lain mempunyai sayap Pemuda, tetapi sebenarnya kita tidak nampak ahli yang berusia belasan tahun malah 20 tahun ke atas. Apa yang dipanggil ahli belia semuanya berumur 30 tahun ke atas.
Saya berharap lebih banyak pihak akan mengikut jejak langkah MUDA dan PBM serta mengambil tahu hasrat kami, para belia.
ABDUL RAZAK AHMAD, Petaling Jaya, Selangor