Nak minta bantuan pun jenuh - Utusan Malaysia

Nak minta bantuan pun jenuh

PERMOHONAN bantuan kepada mangsa banjir perlu dipermudah agar bantuan dapat disalurkan dalam kadar segera.UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TANGGAL 18 Disember 2021 adalah tarikh akan terus diingati oleh seluruh rakyat  ekoran berlakunya bencana banjir terburuk dalam sejarah berbanding 2014 di Kelantan yang meragut banyak nyawa.

Paling menyayat hati apabila mangsa banjir diselamatkan oleh orang ramai  kerana difahamkan tiada sebarang jentera seperti bot daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA seolah-olah tidak mahu mengambil tanggungjawab dalam operasi menyelamat.

Menariknya, dalam situasi getir itu, rakyat tanpa mengira agama dan  kaum menunjukkan semangat perpaduan yang jitu dengan saling membantu dan bertindak pantas menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa yang terperangkap. 

Kejadian ini juga akan meninggalkan kesan dalam kalangan mangsa kerana menteri, ahli politik mahupun golongan orang kenamaan (VIP) agak lewat menghantar jentera dan bantuan. Mereka hanya muncul ketika air hampir surut sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk terlibat. Mujurlah rakyat tolong rakyat, jika tidak, pasti lebih ramai  terkorban.

Pada masa sama, saya dapati banyak pihak mengambil  kesempatan dengan sekadar menjengukkan muka dari luar tingkap kenderaan sambil didiiringi beberapa kenderaan lain. Tindakan sedemikian seolah-olah   lakonan di pentas politik kerana tidak mahu dihukum oleh rakyat.

Tindakan sedemikian hanya mengundang  kekesalan dalam kalangan mangsa banjir. Lebih geram apabila mereka menghulurkan tangan kepada penduduk untuk bersalaman. Lupakah mereka tentang bahaya Covid-19?

Paling dikesali lagi apabila mangsa banjir diminta menyediakan beberapa salinan dokumen bagi tujuan permohonan bantuan. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana hanya akan menyulitkan keadaan serta bebanan yang terpaksa ditanggung akibat kerosakan tempat tinggal dan kenderaan.

Oleh itu, agensi kerajaan haruslah bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara agar dapat memudahkan urusan serta membantu meringankan beban kewangan mangsa. Memadailah dengan hanya satu salinan laporan polis berserta kad pengenalan manakala butiran selainnya diisi dalam borang permohonan.

MUZAKKIR HARON, Pulau Pinang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya