SAUDARA PENGARANG,
ANTARA tanda-tanda kiamat kecil yang jelas terjadi ialah berlalunya waktu dengan cepat sehingga tidak terasa pergantian tahun demi tahun.
Begitu singkat dan kini kita berada pada 2022. Hakikatnya, hal ini telah diisyaratkan melalui hadis Rasulullah SAW iaitu:
“Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum zaman semakin berdekatan (pendek); setahun seperti sebulan, sebulan seperti se-Jumaat (seminggu), se-Jumaat (seminggu) seperti sehari, dan sehari seperti sesaat.”
Satu saat yang dimaksud ialah nyala api yang membakar ranting kering. Para ulama memberikan pengertian masa berlalu begitu cepat dengan maksud sangat sebentar kerana dihilangkan keberkatan waktu yang dikurniakan kepada manusia.
Fenomena cepatnya waktu telah dirasai sejak sekitar abad ketujuh Hijrah. Begitu juga sepertimana dikeluhkan oleh sebahagian ulama kontemporari yang merasakan tidak mampu lagi melakukan atau membuat sesuatu karya yang dahulunya mereka mampu mempersembahkannya.
Dengan waktu semakin singkat di akhir zaman ini, maka sewajarnya bagi orang beriman agar bersegera memperbanyak amal kebaikan supaya tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi dek ‘ditelan’ waktu yang semakin cepat berlalu.
Allah SWT memberikan pengecualian daripada kerugian itu bagi orang-orang beriman dengan hati mereka dan mengerjakan amal soleh dengan anggota badan mereka serta bersabar atas segala macam cubaan yang menimpa.
Ada ulama menafsirkan ayat al-Quran dengan menyatakan semua manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang memiliki empat sifat. Pertama, beriman terhadap perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk diimani dan kedua, beramal soleh.
Sifat ketiga adalah saling menasihati dalam kebenaran dan keempat, menasihati agar tetap dalam kesabaran untuk mentaati perintah Allah SWT, menjauhi apa dilarang serta sabar dalam menerima ketentuan tidak menyenangkan.
MUHAMMAD FAHMI MD. RAMZAN, Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre.